Akhbar The New York Times yang memetik analisis syarikat keselamatan siber, Kaspersky Lab melaporan, perkara itu dikesan selepas syarikat itu diminta menyiasat kerosakan sebuah mesin pengeluaran wang automatik di Ukraine pada tahun lalu.
Menurut penyiasat, komputer bank terbabit yang digunakan untuk memproses transaksi ha­rian dan simpanan kewangan, telah digodam oleh satu perisian yang membenarkan penjenayah siber merekodkan aktiviti bank.
“Perisian tersebut dalam tempoh beberapa bulan menghantar maklumat video dan imej kepada kum­pulan penjenayah termasuk dari Rusia, China dan Eropah, tentang ba­gaimana operasi harian bank tersebut.
“Selepas mendapat maklumat yang diperlukan, penggodam ber­kenaan boleh menyamar sebagai pegawai bank yang membolehkan mereka memindahkan wang dari bank-bank di Amerika Syarikat (AS), Rusia, Jepun dan Switzerland ke akaun palsu di negara-negara lain,’’ kata penyiasat.
Menurut laporan analisa tersebut, saiz serangan tersebut menjadikan kejadian itu merupakan rompakan bank terbesar dan menyaksikan penjenayah siber mencuri lebih AS$300 juta (RM1.07 bilion), namun Kapersky Lab percaya jumlah berkenaan mungkin tiga kali ganda lebih besar daripada yang diketahui.
Setakat ini, nama-nama bank terbabit belum didedahkan, namun kebanyakan bank-bank tersebut berada di Rusia, Jepun dan AS.
Penggodam dilaporkan hanya mengambil AS$10 juta (RM35 juta) setiap kali merompak bank tersebut yang menyebabkan perbuatan mereka tidak dikesan ketika aktiviti penggodaman dilakukan.
Menurut laporan Kapersky Lab itu, semua kegiatan penggodaman tersebut bermula selepas penerimaan emel.