Search This Blog

Monday, January 12, 2015

Warga emas nyaris hilang tangan diparang anak


Batu Pahat: Seorang wanita warga emas nyaris kehilangan tangan kanan akibat terkena libasan parang anak lelakinya yang mengalami masalah mental di rumah mereka di Kampung Sri Ladang, Rengit di sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, wanita berusia 63 tahun itu dikatakan sedang solat Zuhur apabila dikejutkan dengan tindakan lelaki berusia 25 tahun itu mengamuk sambil memegang parang.
Menurut sumber yang juga ahli keluarga terdekat, suspek menyerang ibunya dengan parang dan wanita itu cuba menepisnya menyebabkan pergelangan tangan kanannya hampir putus.
“Anak lelakinya terus menyerang mangsa menyebabkan dia cedera di tangan dan kepala sebelum jatuh ke lantai berlumuran darah.
“Kejadian disedari suami mangsa dan cuba menghalang perbuatan anaknya itu tetapi gagal kerana terlalu agresif,” katanya.
Menurutnya, suami mangsa yang berusia 60-an terus memujuk anaknya supaya bertenang sambil menjerit meminta bantuan ahli keluarga lain serta jiran.
Katanya, selepas beberapa minit, lelaki itu mulai sedar dan seolah-olah terkejut melihat perbuatannya terhadap ibu sendiri menyebabkan dia tergamam sebelum ditenangkan bapanya.
“Sambil dibantu ahli keluarga dan jiran, mangsa dikejarkan ke hospital dan anak lelakinya yang berjaya dipujuk diserahkan kepada polis yang tiba beberapa minit kemudian,” katanya.
Difahamkan, lelaki terbabit sering mengalami gangguan mental selepas mempelajari ilmu mempertahankan diri dan dikatakan sering mengamuk, namun tidak mencederakan sesiapa sebelum ini.
Menurut sumber lagi, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, manakala anaknya dirujuk ke hospital sama dan ditempatkan di wad psikiatri.
“Difahamkan, doktor yang merawat mangsa melakukan pembedahan bagi menyambung pergelangan tangannya yang hampir putus itu dan dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:38 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23278#sthash.PwVCaUa2.dpuf

No comments:

Post a Comment