Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.
SEREMBAN - Seorang wanita maut dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Seremban - Tampin, menghala ke Seremban, berdekatan Kawasan Perindustrian Ringan Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mistari, 50, seorang warga Indonesia maut akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai memanggil saudaranya yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan memotong rumput di bahagian tengah pembahagi jalan.

"Saudaranya itu dipercayai berada di tengah jalan tidak mendengar panggilan dari mangsa yang baru turun dari bas, menyebabkan dia melintas di jalan tidak sepatutnya.

"Akibatnya, dia dilanggar di lorong kanan oleh sebuah kenderaan berwarna hijau jenis tidak diketahui," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, di sini untuk bedah siasat,” katanya yang memberitahu pemandu kenderaan berkenaan masih belum tampil membuat laporan polis.

“Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban 2 di talian 06-603 3222 atau balai-balai berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan laporan kejadian berkenaan.