PUTRAJAYA 17 Jan. – Penjawat awam yang diserang secara tiba-tiba oleh juruteknik ketika bekerja lebih masa di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini malam semalam masih berada dalam keadaan trauma.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, mangsa yang sedang dirawat di Hospital Putrajaya tidak boleh tidur lena dan takut untuk menemui orang yang tidak dikenali.
“Fikiran mangsa sentiasa terganggu kerana masih bimbang diserang secara tiba-tiba oleh orang yang tidak dikenali.
“Mangsa pada masa yang sama mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan hidung tetapi tidak mengalami pendarahan dalaman,” katanya kepada pemberita selepas melawat penjawat wanita berumur 30 tahun tersebut di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Kejadian serangan tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak selepas gambar mangsa yang berlumuran darah dan sedang meminta tolong tersebar melalui Internet.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, mangsa yang masih bujang diserang pada kira-kira pukul 7 malam ketika bekerja melebihi masa.
“Mangsa mempunyai tugas yang belum disiapkan pada malam kejadian dan meminta bahagian penyelenggaraan bangunan supaya tidak memadamkan lampu pejabat.
“Juruteknik yang naik ke pejabatnya tiba-tiba melakukan serangan dan mencederakannya, mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri dan meminta tolong di kafe,” katanya.
Ahmad Shabery menjelaskan, penyelenggaraan bangunan adalah dikendalikan Jabatan Kerja Raya dan jabatan itu biasanya melantik kontraktor untuk melaksanakan tugas tersebut.
Beliau berkata, keganasan terhadap wanita dan serangan di pejabat adalah perkara yang serius dan pihaknya akan memperkenalkan langkah baharu supaya kejadian tersebut tidak berulang.
“Saya akan mengadakan perjumpaan khas dengan semua warga kementerian supaya langkah keselamatan yang lebih kukuh dapat diperkenalkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi berkata, suspek berusia 30-an ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Katanya, motif suspek melakukan serangan masih disiasat polis.
No comments:
Post a Comment