Search This Blog

Thursday, January 29, 2015

Sedar selepas dua bulan koma



MOHD. NIZAM (dua dari kiri) bersama ahli Majlis Belia Daerah Jempol menziarahi Zulkifli sambil diperhatikan oleh Norasikin (kanan) di Kuarters IPD Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.


JEMPOL – Seorang anggota polis yang koma selama dua bulan selepas kemalangan ketika melakukan rondaan di Taman Meranti di sini Oktober lalu menunjukkan perkembangan positif apabila dia boleh bercakap semula.
Zulkifli Zainuddin, 56, yang berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol sebelum ini dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban selama dua bulan ekoran kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk sebelum dibenarkan keluar pada 9 Januari lalu.
Anak mangsa, Norasikin, 24, berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana penantian untuk melihat ayah kembali sedar dan pulang ke rumah di Kuarters IPD Jempol di sini terlaksana.
“Kejadian yang berlaku merupakan dugaan buat kami. Walaupun ayah baru pulih daripada koma, kami gembira kerana dia mengenali kenalan yang datang menziarahinya.
“Buat masa ini ayah akan menulis di atas kertas jika mahukan sesuatu kerana kesukarannya untuk bercakap. Semangatnya tetap kuat dan kami yakin dia akan sembuh seperti sedia kala walaupun memakan masa yang lama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.
Menurut Norasikin, sejak kejadian itu, bapanya tidak pernah dipinggirkan malah banyak menerima sokongan moral daripada ahli keluarga dan rakan-rakan setugas.
Dalam kejadian pada 17 November lalu, dua anggota polis termasuk Zulkifli yang sedang melakukan rondaan cedera selepas kereta peronda yang dinaiki dirempuh sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Juasseh di sini.
Kejadian pukul 12.15 tengah malam itu berlaku selepas kereta Proton Saga dari arah Bahau itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah di lokasi kejadian sebelum terbabas dan merempuh bahagian kiri kereta peronda yang ketika itu mahu membelok ke kanan.
Dalam pada itu, ahli Majlis Belia Daerah Jempol serta Kelab Komuniti Sukan dan Rekreasi Parlimen Jempol yang diketuai pengerusinya, Mohd. Nizam Aman turut melawat Zulkifli.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3Q9zSnYD0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment