Keretakan pada dinding rumah menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.
Keretakan pada dinding rumah menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.
KOTA TINGGI - Hati mana yang tidak geram jika rumah yang baharu diduduki sudah mengalami pelbagai kerosakan.

Bertambah geram apabila pemaju yang bertanggungjawab tidak ambil peduli dan cuba untuk lepas tangan.

Itulah yang dialami oleh penduduk di Taman Bayui Damai di sini yang kecewa dengan situasi yang terpaksa mereka alami.

Taman Bayu Damai yang kini menjadi tempat tinggal penduduk dari lapan kampung di Pengerang.

Sudahlah projek  perumahan tersebut lambat disiapkan, hasilnya pula langsung tidak memuaskan hati seolah-olah hanya melepaskan batuk di tangga ketika menyiapkannya.

Penduduk terbabit mula berpindah ke penempatan baharu itu sejak beberapa bulan lepas bagi memberi laluan ke atas Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Seorang penduduk yang ditemui, Ismail Jono, 59 berkata, masalah kerosakan seperti retak, senget dan sebagainya dipercayai berpunca daripada masalah tanah kerana kawasan itu adalah kawasan paya yang ditambak dengan cara tidak sempurna.

Menurut bapa kepada lima anak itu, penduduk yang sudah mula berpindah ke penempatan tersebut sejak bulan Julai terpaksa berdepan dengan masalah yang sama walaupun telah dibaiki .

“Apa yang paling teruk masalah keretakan yang berlaku di dinding rumah penduduk sehingga kita boleh lihat isi barang yang ada dalam rumah.

“Majoriti penduduk juga mengalami masalah longkang di mana tanah mendap yang berlaku telah menyebabkan longkang rumah retak. Malah masalah tersebut telah berlaku sebelum kami berpindah masuk ke rumah lagi.

“Meskipun pemantauan ada daripada pihak berkenaan dan pemaju namun masalah sama masih berulang walaupun usaha baik pulih dilakukan,” katanya.

Dakwa rumah tiada CF

Muliadi Umat, 43, pula berkata, masalah tanah mendapat juga menyebabkan dapur rumah yang telah diubahsuai menjadi retak dan renggang.

Guru  di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pengelih itu berkata, sejak menetap di rumah tersebut juga sudah dua kali kerja baik pulih longkang dijalankan di rumahnya itu.

Katanya, dia juga difahamkan rumah-rumah berdekatan tidak mempunyai Sijil kelayakan Menduduki Bangunan (CF) sekaligus telah mempertaruhkan keselamatan penduduk.

“Rumah sahaja yang baru tetapi kami terpaksa menganggung kerugian ribuan ringgit untuk membaiki kerosakan yang berlaku. Ini tidak adil bagi kami yang terpaksa berpindah ke sini kerana Projek Rapid," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Muliadi berkata, dia telah membuat aduan kepada banyak pihak termasuklah menghantar mesej melalui twitter kepada Perdana Menteri mengharapkan agar masalah penduduk di penempatan tersebut diselesaikan.

Jelasnya, dia juga merancang untuk membuat tuntutan di Tribunal Pengguna bagi meminta ganti rugi daripada pemaju yang tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.

Seorang lagi, Roslan Yusof, 58 turut kesal kerana masalah itu sudah diadukan beberapa kali kepada pihak yang berkaitan tetapi masih tiada sebarang tindakan.

Katanya, paling merunsingkan sebarang masalah hanya akan diambil tindakan dalam tempoh dua tahun rumah tersebut diduduki dan selepas tempoh itu, pemaju tidak akan bertanggungjawab.

"Bagaimana kami harus hidup dalam keadaan rumah yang bermasalah ini. Kami terpaksa berpindah untuk memberi laluan ke atas projek mega namun begini pula nasib yang kami terima. Tindakan pihak kontraktor yang membuat rumah ini seolah-olah bukan kontraktor yang sebenar.

“Perkara ini tidak patut berlaku. Mereka sebagai pemaju seharusnya lebih arif tentang bab perumahan dan tahu masalah yang akan berlaku jika silap percatuan,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Anak Johor Selatan, Hassan Ahmad, 52 , berkata, apa yang diharapkan akan ada tindakan daripada pihak terbabit untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, penduduk menyokong projek  kerajaan namun perlu dijalankan dengan betul agar dengan mengambil kira kebajikan penduduk.

“Jika mereka buat yang terbaik untuk penempatan ini maka kami penduduk pun akan merasa gembira dengan perpindahan ini dan jika sebaliknya kami sebagai rakyat rasa tertindas dengan apabila diperlakukan sebegini,” katanya.