Mangsa, Mohd. Aizat Aminuddin, 16, meninggal dunia kira-kira pukul 12.05 pagi hari ini di pangkuan ahli keluarganya selepas dia terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada 22 Januari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang 22 Januari itu, Mohd. Aizat membonceng motosikal yang ditunggangi rakannya dan terbabas setelah dikatakan ditendang oleh seorang penunggang motosikal lain di jalan berkenaan.
Ketika kemalangan itu, Mohd. Aizat mengalami cedera parah di kepala dan patah kaki kanan, manakala rakannya yang menunggang motosikal itu pula patah paha kanan dan dibenarkan keluar dari hospital.
Mohd. Aizat, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Perak dikatakan mahu me­la­rikan diri daripada penunggang motosikal itu yang mahu memeras wangnya berjumlah antara RM5 dan RM10.
Abang sulung kepada Mohd Aizat, Khairil Adzim, 31, berkata, ketika kemalangan yang menimpa adik bongsunya itu berlaku, dia turut berada di lokasi kejadian kerana baharu sahaja pulang dari tempat kerja dan sedang menuju ke rumah mereka yang terletak di Taman Purnama.
“Saya ingat kemalangan tersebut membabitkan mat rempit, tapi saya lihat ramai suadara mara saya di lokasi kejadian.
“Apabila saya menghampiri lokasi kemalangan tersebut saya terkejut apabila melihat adik saya sudah tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika ditemui di HSB di sini.
Menurut Khairil Adzim, dia menyerahkan kes kemalangan adiknya itu kepada pihak polis untuk siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah Kota Setar, Superitenden Rohana Omar keti­ka di­hubungi mengesahkan kes berke­naan dan suspek lelaki yang disyaki menendang motosikal itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes ini berlaku pada 22 Januari lalu dan suspek berjaya ditahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.