Keadaan pondok di Madrasah Ad Diniah al-Ismailiah Kampung Paya Jauh yang rosak teruk ditenggelami air banjir setinggi lebih lima meter.
Keadaan pondok di Madrasah Ad Diniah al-Ismailiah Kampung Paya Jauh yang rosak teruk ditenggelami air banjir setinggi lebih lima meter.
SEBERANG TEMERLOH - Madrasah Ad Diniah Al-Ismailliah yang baharu dibuka tidak sampai tiga tahun lenyap dari pandangan pada 31 Disember lalu apabila banjir besar menenggelamkan pusat pengajian agama berkonsepkan pondok itu setinggi lebih lima meter.

Madrasah yang diasaskan Mohamad Yani Che Mat dibina dalam perkampungan masyarakat Kelantan di Kampung Paya Jauh di sini, hanya tinggal tingkat atas masjid dan beberapa struktur tinggi yang lain serta menenggelamkan hampir semua 136 pondok yang menjadi kediaman pelajarnya.

Mohamad Yani ketika ditemui berkata, akibat banjir besar yang melanda itu, proses pembelajaran agama seramai 150 pelajarnya tergendala seketika apabila masing-masing terpaksa membantu membersihkan persekitaran pusat pengajian seluas 1.2 hektar itu.

Menurutnya, kejadian banjir besar itu adalah yang pertama terjadi sejak madrasah itu dibuka di atas tanah yang dibeli hasil sumbangan ramai.

“Beberapa hari sebelum banjir, kami arahkan para pelajar pulang ke kampung masing-masing kerana bimbang mereka terperangkap di sini.

“Apabila air banjir semakin besar, kami yang tinggal di sini tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga dan terpaksa menyelamatkan diri dahulu,” katanya sewaktu ditemui di madrasah tersebut semalam.

Mohamad Yani berkata, selepas air surut terlalu ramai sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu membersihkan persekitaran pondok untuk memastikan ia kembali beroperasi.

Beliau berkata, akibat banjir besar kali ini sebanyak 31 pondok yang menjadi kediaman para pelajar rosak teruk dan dihanyutkan air ke kawasan lain hingga terpaksa dibina semula.

Menurutnya, keperluan utama bantuan sekarang ialah bahan binaan seperti simen, kayu, batu dan lain-lain dan ianya sudah tentu tidak mampu dibeli sekiranya tidak ada sumbangan daripada orang ramai.

“Ada yang bagi sumbangan tilam dan bantal, keperluan utama sekarang ialah peralatan pembelajaran pelajar seperti perabot dan lain-lain,” katanya.

Mohamad Yani berkata, projek pembinaan asrama perempuan bernilai RM1.2 juta di tapak pondok di situ juga tergendala akibat banjir hujung tahun lalu.

Menurutnya, kepada pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan wang bantuan mereka melalui akaun Bank Islam atas nama Madrasah Ad Diniah al-Ismailliah 06028010061558 atau berhubung dengannya di nombor 019-9882608.