Search This Blog

Friday, January 9, 2015

Polis Perancis buru penyerang



ANGGOTA polis tiba dekat lokasi serangan ke atas pejabat akhbar Charlie Hebdo di Montrouge, selatan Paris semalam. - AFP


PARIS – Anak bongsu daripada tiga adik-beradik warga Perancis yang diburu berhubung serangan ke atas pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo menyerah diri kepada polis kelmarin, kata seorang pegawai pejabat pendakwa raya.
Mereka menyerbu pejabat akhbar mingguan tersebut di ibu kota Perancis di sini kelmarin yang meragut 12 nyawa sekali gus serangan militan terburuk di Perancis dalam tempoh beberapa dekad.
Sehingga kini, polis Perancis masih memburu dua penyerang itu yang melarikan diri menggunakan sebuah kereta selepas menembak mati beberapa kartunis terbaik Perancis dan dua anggota polis.
Polis turut mengeluarkan kertas arahan kepada pasukan keselamatan di seluruh negara bahawa dua lelaki itu dikehendaki kerana jenayah membunuh berkaitan serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo.
Dalam kertas berkenaan, polis menamakan mereka sebagai Said Kouachi dan Cherif Kouachi dengan masing-masing dilahirkan pada tahun 1980 dan 1982.
Suspek ketiga yang turut diburu dikenali sebagai Hamyd Murad, lahir pada 1996.
Sumber polis memberitahu, seorang daripada mereka dikenal pasti melalui kad pengenalannya yang tertinggal di dalam kereta yang digunakan untuk melarikan diri.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai di pejabat pendakwa raya Paris di sini menyatakan, suspek paling muda daripada tiga lelaki tersebut menyerah diri di sebuah balai polis di Charleville-Mézires yang terletak 230 kilometer ke timur laut bandar raya ini, dekat sempadan Belgium.
Pada masa yang sama, stesen televisyen Perancis, BFM yang memetik beberapa sumber melaporkan bahawa lelaki tersebut menyerah diri selepas melihat namanya terpapar dalam media sosial.
Laporan sama menyebut beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan dua adik-beradik tersebut turut ditahan.
“Cherif Kouachi pernah dibicarakan kerana dakwaan keganasan dan dipenjara selama 18 bulan. Dia ditangkap pada 2005,” kata sumber polis tersebut.
Sumber sama memberitahu bahawa polis antipengganas masih menjejaki dua suspek berkenaan dengan pencarian dilakukan di Reims, Strasbourg dan bandar raya ini. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3OIsdIlHy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment