Keratan Sinar Harian, semalam.
Keratan Sinar Harian, semalam.
MELAKA - Pasukan bomba menemui sepucuk pistol selepas memadamkan api dalam kebakaran kedua membabitkan sebuah makmal dadah di satu unit Kondominium Palm Ocean di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, pistol dipercayai jenis semi automatik Baretta itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Selepas mendapat maklumat daripada pegawai bomba kira-kira jam 9 pagi, sepasukan polis termasuk pegawai penyiasat ke lokasi dan menemui sepucuk pistol seperti dimaklumkan.

“Turut ditemui satu magazin dan beberapa kelonsong peluru, anak peluru dan peluru yang sudah hitam dipercayai akibat kesan terbakar di atas lantai rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pistol hangus 50 peratus itu ditemui di celah sofa di bahagian ruang tamu yang musnah terbakar.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dibuat dan pistol ini akan dihantar ke bahagian forensik untuk ujian balistik. Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971,” katanya di sini, semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kegiatan memproses dadah jenis ekstasi dan syabu bernilai jutaan ringgit terbongkar apabila satu unit rumah di Kondominium Palm Ocean, terbakar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Proses dadah di kondo mewah]

Kediaman dua bilik yang terletak di tingkat 21 itu dijadikan makmal memproses dadah selepas pelbagai bahan kimia dan peralatan ditemui bomba ketika kerja-kerja pemadaman api dilakukan dalam kejadian kira-kira 10 malam.