A320 Air France Airbus didakwa mengalami masalah ketika mendarat di Lapangan Terbang Birmingham.
A320 Air France Airbus didakwa mengalami masalah ketika mendarat di Lapangan Terbang Birmingham.
BIRMINGHAM – BRITAIN. Bagi mana-mana individu yang takut untuk berada di atas awan, anda dinasihati untuk tidak menonton video ini.

Beberapa klip video kini muncul dan tersebar di media internet dan laman sosial, memaparkan beberapa buah pesawat berasingan menghadapi kesulitan untuk mendarat di Lapangan Terbang Birmingham berikutan angin kencang melanda kawasan tersebut kira-kira dua minggu lepas.

Sebuah video berdurasi dua minit 27 saat menunjukkan sebuah pesawat Flybe melakukan pendaratan sukar di landasan lapangan terbang tersebut berikutan gelora angin kencang yang dihadapi.

Pada minit pertama, penonton video dapat menyaksikan pesawat tersebut ‘bergelut’ untuk mendarat di landasan terbabit.

Setelah hampir 30 saat cuba mengimbangi kedua tayar, pesawat berkenaan terpaksa menangguhkan pendaratannya.

Sebuah lagi pesawat A320 Air France Airbus turut menghadapi masalah yang sama ketika melakukan pendaratan di lapangan terbang berkenaan.

Memetik laporan daripada portal berita The Indipendent, lapangan terbang tersebut pernah berhadapan dengan masalah yang sama sebelum ini.

Menurut laporan tersebut lagi, sebuah pesawat Turkish Airlines Boeing 737 didakwa terpaksa membatalkan pendaratan berikutan angin kencang yang dihadapi pada Ogos tahun lepas, manakala penerbangan Emirates dari Dubai pula mencatatkan dua kegagalan untuk mendarat pada Disember 2013 atas masalah yang sama.

Bagaimanapun, jurucakap pihak pengurusan Lapangan Terbang berkenaan menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya, walaupun keadaan cuaca tidak menentu, lapangan terbang terbabit tidak mencatatkan sebarang insiden kemalangan.

"Seperti semua lapangan terbang United Kingdom, Lapangan Terbang Birmingham juga mengalami keadaan cuaca yang mencabar sekali-sekala, tetapi pesawat kekal mendarat dengan selamat tanpa insiden,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal terbabit.

Lapangan Terbang Birmingham merupakan salah satu lapangan terbang tersibuk di dunia dengan pengendalian lebih daripada 9.7 juta penumpang.

Lapangan Terbang tersebut turut mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun 2013.