Hasil rakaman CCTV di rumah jiran mangsa menunjukkan kelibat individu dipercayai penjenayah bertudung.
Hasil rakaman CCTV di rumah jiran mangsa menunjukkan kelibat individu dipercayai penjenayah bertudung.
KEPALA BATAS - Taktik bertudung ketika menyamun digunakan penjenayah dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bertam Perdana Dua, Bertam Lake House, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihak polis setakat ini telah berjaya mengenal pasti kumpulan penjenayah bertudung dan usaha menangkap mereka giat dijalankan.

“Buat masa ini statistik kejadian pecah rumah di daerah ini agak membimbangkan, dalam hal ini pihak polis giat melakukan sesuatu bagi membendung kegiatan ini.
“Satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan kumpulan terlibat diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusoff Ibrahim,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang ahli perniagaan berputih mata apabila barang kemas dan tunai RM100,000 lesap dalam satu kejadian samun di Taman Bertam Perdana Dua, Bertam Lake House.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, rumah mangsa dimasuki tiga penjenayah yang memakai tudung kepala.

Mangsa yang berusia lingkungan 40an bersama isterinya diikat dengan wayar telefon serta diugut untuk dicederakan sekiranya melawan.

Abdul Rahman berkata sebelum kejadian, ketiga penjenayah tersebut dipercayai cuba untuk memasuki beberapa rumah penduduk di taman berkenaan.

“Daripada hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa, ketiga penjenayah dilihat cuba untuk memasuki beberapa rumah di taman itu,” katanya.

Menurutnya, pihak polis kini meningkatkan rondaan di kawasan yang kerap berlaku kejadian pecah rumah bagi mengelakkan kejadian sama berulang.