Search This Blog

Sunday, January 18, 2015

Penunjuk perasaan serang pusat kebudayaan Perancis


NIAMEY, Niger – Kumpulan penunjuk perasaan menyerang pusat kebudayaan Perancis, membakar gereja dan merosakkan kedai milik orang Kristian semalam sebagai membantah penerbitan karikatur Nabi Muhammad SAW oleh akhbar satira Charlie Hebdo.
Akhbar mingguan itu membangkitkan kemarahan umat Islam apabila terus menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW selepas pejabat akhbar itu di­serang oleh lelaki bersenjata minggu lalu sehingga menyebabkan 12 kakitangan mati.
Pihak polis di Zinder yang merupakan bandar kedua terbesar di selatan negara itu terpaksa melepaskan gas pemedih mata apabila ratusan penduduk berkumpul sambil membakar bendera negara Perancis dan tayar jalanan.
“Penunjuk perasaan menjerit ‘Charlie adalah syaitan’ dan ‘biarkan neraka membakar mereka yang menyokong Charlie,” kata seorang pemilik kedai, Aboubacar Mamane ketika dihubungi melalui te­lefon.
Saksi-saksi pula berkata, penunjuk perasaan telah menggeledah pusat kebudayaan Perancis dan rumah-rumah pegawai polis di situ.
Penunjuk perasaan bagaimanapun berarak secara aman selepas solat Jumaat di Mali, Senegal dan Mauritania yang pernah menjadi jajahan Perancis.
Penunjuk perasaan berkata, punca kemarahan mereka dicetuskan oleh penerbitan terbaharu akhbar Charlie Hebdo minggu lalu yang terus menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW meskipun menyedari bahawa punca serangan ke atas pejabat akhbar itu kerana melakukan penghinaan terhadap Islam sebelum ini. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3P7WAW83X 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment