Search This Blog

Monday, January 12, 2015

Penceroboh telan rusa ‘tewas’

Oleh Redzuan Muharam 
am@hmetro.com.my


Johor Bahru
“Ini kejadian pertama berlaku di sini, sejak taman ini dibuka 12 tahun lalu,” kata Pengurus Taman Rusa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Mohd Sum yang terkejut selepas rusa jagaannya mati ditelan ular sawa empat meter, kelmarin.
Mohd berkata, dia tidak berada di ladang ketika kejadian dan tahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi kakitangan pada jam 8.45 pagi semalam.
Menurutnya, dia menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap reptilia berkenaan.
“Sebelum ini, taman ini pernah diceroboh anjing liar beberapa tahun lalu dan masalah itu diatasi selepas pihak pengurusan memasang pagar keselamatan.
“Namun, kedudukan taman yang berhampiran hutan dan zon penampan mungkin menyebabkan reptilia itu menjadikan kawasan sekitar sebagai habitatnya,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Johor Bahru Noor Mohd Sufian Ani berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama empat anggota.
Katanya, pasukannya tiba di tempat kejadian pada jam 9.15 pagi dan menangkap ular itu 10 minit kemudian.
“Operasi berjalan lancar dan ular sawa seberat 60 kilogram itu ditangkap dengan mudah kerana kekenyangan selepas menelan rusa.
“Reptilia berkenaan dibawa ke ibu pejabat JPAM Johor untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:42 AM


Anggota JPAM menangkap ular sawa yang membaham seekor rusa di Taman Rusa UTM, Skudai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23286#sthash.IH2T7SGd.dpuf

No comments:

Post a Comment