Search This Blog

Sunday, January 18, 2015

Mayat rentung bantut hasrat jerat ayam


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Januari 2015


LUMUT - Hasrat dua lelaki untuk menjerat ayam di hutan terbantut selepas mereka terkejut apabila menemui satu mayat lelaki rentung di dalam hutan di Jalan Damai Laut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Mohd Shah berkata, mayat itu ditemui pada jam 4.30 petang oleh dua penduduk tempatan yang mahu menjerat ayam di hutan itu.

“Pengadu bersama rakan dalam perjalanan masuk ke hutan untuk jerat ayam telah menjumpai satu mayat telah rentung dan berulat di kawasan tersebut. Mereka bergegas keluar dari kawasan terbabit dan terus membuat laporan di balai berhampiran.

“Pemeriksaan mendapati mayat lelaki itu ditemui tertiarap dan telah rentung 70 peratus  menyebabkan identitinya sukar dikenal pasti tambahan mayatnya telah mereput dan berulat,” katanya, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa kemungkinan dibakar di tempat kejadian dan telah telah mati sejak empat atau lima hari yang lalu sebelum ditemui.

“Mayat berkenaan dijumpai kira-kira 200 meter dari jalan utama menuju ke sebuah resort di sini. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh. Siasatan sedang dijalankan untuk kenal pasti sama ada mangsa dibunuh di tempat kejadian atau tempat lain,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment