Abdullah al-Kidd ditahan pada tahun 2003 sebagai ‘saksi yang mungkin’, terma yang digunakan oleh AS selepas serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia itu untuk membolehkan seseorang suspek memberi keterangan dalam kes keganasan.
Abdullah dikurung sendirian selama dua minggu dan berdepan layanan kasar termasuk dipaksa duduk dalam keadaan pencahayaan terang sepanjang 24 jam di dalam sel tahanan.
Dia kemudian terpaksa melalui tempoh pengawasan selama 15 bulan.
Abdullah tidak berdepan dakwaan dan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan seorang pelajar yang dituduh memalsukan visa, kes yang menyebabkan dia ditahan.
Sehubungan itu, kerajaan AS menawarkan pam­pasan dan bersetuju membayar ganti rugi kepadanya yang juga merupakan mualaf, menurut Kesatuan Kebebasan Hak Sivil Amerika (ACLU).
“Saya sangat gembira kerana kerajaan mengaku salah serta memberikan pampasan kepada saya berikutan kesilapan tersebut. Saya berharap orang lain tidak akan melalui apa yang pernah saya rasa sepanjang berada dalam tahanan,” ujar Abdullah.
Menurut ACLU, sepanjang ditahan, Abdullah dipindahkan ke tiga buah penjara persekutuan di tiga buah negeri.
ACLU mengumumkan penyelesaian itu selepas mewakili Abdullah dan menyaman kerajaan AS dalam kes tersebut.
“Kerajaan telah mengakui bahawa penangkapan dan penahan Abdullah sebagai saksi adalah satu pengalaman yang sukar dan memohon maaf atas kesilapan tersebut,” memetik kata pegawai yang menulis surat kepada Abdullah. – AFP