SYDNEY 30 Jan. - Seorang daripada dua orang yang terbunuh dalam drama tebusan di sebuah kafe di sini selama 16 jam Disember lalu, terbunuh apabila terkena serpihan tembakan polis, kata satu inkues berhubung kejadian itu semalam.
Pekerja kafe itu, Katrina Dawson, 38, maut bersama pengurusnya, Tori Johnson, 34, dan penyerang kelahiran Iran, Man Haron Monis, 50, apabila polis menyerbu kedai tersebut.
Perunding yang membantu inkues koroner itu, Jeremy Gormly berkata, Dawson terkena enam serpihan peluru polis yang tersasar dari permukaan keras dan mengenai badannya.
"Saya tidak akan memberi maklumat terperinci kecederaan Dawson kecuali satu serpihan mengenai saluran darah utama, dia pengsan dan kemudian meninggal dunia," katanya.
Inkues Mahkamah NSW Coroner itu akan menggariskan apa yang berlaku dalam kejadian tersebut yang melibatkan 17 tebusan, menyiasat maklum balas polis selain memeriksa latar belakang dan motif Man Haron.
Satu siasatan berasingan yang diarahkan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan New South Wales dijangka menyerahkan laporan dalam beberapa hari lagi.
Gormly turut berkata, Johnson ditembak di bahagian belakang kepalanya oleh Man Haron dengan senapang patah sejurus selepas beberapa tebusan melarikan diri. - AFP
No comments:
Post a Comment