Search This Blog

Friday, January 9, 2015

Indonesia perketat harga tiket tambang murah


SEKUMPULAN penyelam Tentera Laut Indonesia semalam bersedia untuk menyelam di satu lokasi di Laut Jawa di mana ekor pesawat QZ8501 ditemui.


JAKARTA – Kementerian Pengangkutan Indonesia mengetatkan syarat penjualan tiket tambang murah untuk penerbangan domestik di negara itu bagi memastikan syarikat penerbangan tidak mengurangkan kos berhubung aspek keselamatan, kata para pegawai semalam.
Keputusan untuk mengetatkan syarat penjualan tiket tambang murah itu mula dikuatkuasakan pada 30 Disember lalu iaitu dua hari selepas sebuah pesawat milik AirAsia Indonesia QZ8501 terhempas di Laut Jawa.
Menurut dokumen yang diterima Reuters, Kementerian Pengangkutan telah meningkatkan harga lantai tiket untuk penerbangan domestik kelas ekonomi.
Kementerian itu berharap, syarat baharu tersebut akan meningkatkan lagi keuntungan syarikat penerbangan supaya mereka boleh menyalurkan lebih dana untuk aspek keselamatan.
“Kami mahu sektor penerbangan menjadi sektor yang sihat, bukan murah.
“Jika penerbangan ini murah sudah pasti banyak perkara yang tidak dilakukan,” kata Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan semalam.
Seorang pegawai di kementerian itu, Mohammad Alwi pula berkata, syarikat penerbangan perlu mengimbangi antara memastikan keselamatan penumpang dengan kos operasi.
Sejak nahas menimpa pesawat QZ8501, kerajaan telah menukar beberapa pegawai penerbangan dan mengetatkan beberapa prosedur sebelum penerbangan.
Penerbangan QZ8501 yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura.
Pesawat jenis Aibus A320-200 tersebut terputus hubungan dengan menara kawalan selepas menempuh cuaca buruk. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3OIsKpnmb 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment