Search This Blog

Sunday, January 18, 2015

Dipukul jiran gara-gara asap


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Januari 2015


BESUT - Seorang wanita tidak menyangka perselisihan faham lama yang dipercayai berpunca daripada asap sampah dibakar masuk ke dalam rumah jirannya menyebabkan dia dipukul oleh jirannya itu dengan penyapu dalam kejadian di Jalan Masjid Kampung Apal, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun terpaksa menanggung kesakitan di bahagian badan dan kepala apabila diserang suspek berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata,  kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai membeli barang di sebuah kedai runcit di kawasan kampung itu.

Menurutnya, mangsa dikatakan berjalan kaki melalui jalan belakang rumah jirannya sebelum dihampiri suspek  yang secara tiba-tiba memukul kepala dan badan mangsa beberapa kali menggunakan sebatang penyapu.

“Mangsa yang terkejut dengan serangan itu tidak sempat mengelak menyebabkan kepalanya berdarah manakala tangan dan badannya sakit serta bengkak akibat terkena pukulan itu.

“Sejurus itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum buat laporan di Balai Polis Jertih kerana bimbang keselamatan diri,” katanya.

Khaled berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham lama antara dua wanita berkenaan kerana sebelum ini suspek didakwa pernah memarahi suami mangsa kerana berang asap sampah dibakar masuk ke dalam rumahnya.

Menurutnya, perselisihan faham itu dikatakan berlanjutan sehingga menyebabkan pergaduhan.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut, namun siasatan awal suspek mendakwa kejadian disebabkan masalah sempadan kawasan rumah yang dikatakan sudah lama berlarutan.

“Kita masih menjalankan siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah,” katanya.

No comments:

Post a Comment