Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, ketiga-tiga suspek ditahan selepas melakukan samun ke atas pasangan kekasih yang melibatkan anggaran kerugian RM300.
Menurutnya, kejadian pada awal pagi itu berlaku semasa kedua-dua mangsa berusia 18 dan 20 tahun sedang menunggu teksi di Jalan Biru, Taman Pelangi sebelum didatangi tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Toyota Vios.
"Sejurus kereta berkenaan menghampiri, dua lelaki bersenjatakan parang turun dan mengugut mangsa menyerahkan semua barangan berharga sebelum melarikan diri.
"Susulan daripada itu, anggota peronda dengan bantuan Skuad Ninja digerakkan dan menemukan kereta terbabit sekitar Jalan Tebrau menghala ke bandar, namun suspek cuba memecut laju," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota peronda dan Skuad Ninja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) bertindak mengejar kereta dinaiki suspek sebelum berjaya memintas dan menahan mereka di Jalan Sutera pada pukul 5.45 pagi.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek terdapat dua bilah parang, sebilah pisau dan barangan yang disamun daripada pasangan berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah," katanya.
Sulaiman memberitahu, kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.