Search This Blog

Monday, January 12, 2015

Dalang pembalak haram ditahan

Oleh Safuri Kamarudin 
am@hmetro.com.my

Baling
Tiga lelaki yang dipercayai dalang kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Gunung Inas, dekat sini, ditahan sepasukan anggota Jabatan Perhutanan Kedah dengan kerjasama Pejabat Renjer Hutan Weng dan Kuala Pegang, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang, pihak berkuasa menahan lelaki terbabit berusia antara 30 dan 40-an selain merampas pelbagai peralatan pembalakan, termasuk tiga jentolak dan dua jengkaut.
Timbalan Pengarah Perhutanan negeri Rahim Ramli berkata, selain dalang utama kegiatan, dua lagi yang ditahan dalam serbuan itu masing-masing adalah pengusaha dan kontraktor yang dibayar bagi menjalankan aktiviti penggondolan kawasan hutan terbabit.
“Berdasarkan maklumat, pembalakan haram itu dipercayai dilakukan dalam tempoh dua minggu lalu menyebabkan kira-kira 20 hektar kawasan di sekitar Kompatmen 2 Hutan Simpanan Gunung Inas kini gondol.
“Kita percaya mereka menjadikan kawasan sempadan Kampung Tasek di Pengkalan Hulu sebagai lokasi untuk menceroboh kawasan balak di Hutan Simpanan Gunung Inas yang bersempadan dengan kawasan penanaman kelapa sawit milik koperasi kerajaan Perak.
“Kita bernasib baik kerana berjaya mengesan kegiatan itu lebih awal, sekali gus mengekang pergerakan mereka yang menceroboh dan menebang balak sesuka hati khususnya dari jenis bernilai tinggi seperti Meranti, Malau dan Merawan,” katanya.
Rahim berkata, pihak terbabit sengaja menceroboh kawasan sempadan antara Kedah dan Perak bagi mengaburi pihak berkuasa seolah-olah balak yang itu diambil di kawasan Perak kerana bersebelahan dengan tanaman kelapa sawit milik koperasi di bawah pentadbiran kerajaan Perak.
Beliau berkata, ketika diserbu ratusan pokok balak sudah siap ditebang tetapi tidak berjaya dibawa keluar kerana kegiatan mereka dikesan Jabatan Perhutanan Kedah lebih awal hasil maklumat awam.
“Semua kayu balak terbabit termasuk jentera yang digunakan dalam kegiatan berkenaan kemudian dirampas untuk tindakan lanjut, manakala tiga individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15, Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 (Pindaan 1984) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara antara setahun hingga 20 tahun,” katanya.
Sementara itu, Rahim berkata, kawasan Hutan Simpan Gunung Inas adalah kawasan tadahan air untuk penduduk, malah sebuah loji air turut terdapat berdekatan kawasan itu untuk kegunaan penduduk di daerah Pengkalan Hulu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:36 AM


ANGGOTA Jabatan Perhutanan Kedah menyita kayu balak yang dibawa keluar ke kawasan pengumpulan sebelum dijual.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23275#sthash.f6AttKYV.dpuf

No comments:

Post a Comment