• Salji tebal menyebabkan jarak penglihatan pengguna jalan raya terhad hingga mengakibatkan beberapa kemalangan.Salji tebal menyebabkan jarak penglihatan pengguna jalan raya terhad hingga mengakibatkan beberapa kemalangan.

OTTAWA - KANADA. Cuaca sejuk melampau dilaporkan melanda timur Kanada dan utara Amerika Syarikat selepas salji tebal mula turun sepanjang minggu lalu hingga menyebabkan beberapa kemalangan kecil di kawasan terlibat.

Ratusan ribu penduduk di wilayah Quebec di Kanada turut terputus bekalan elektrik manakala puluhan penerbangan terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan di Montreal dan Toronto.

Di British Columbia, pihak berkuasa memberi amaran terhadap peningkatan runtuhan salji berikutan salji tebal di kawasan pergunungan di wilayah barat terbabit.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar Kanada mengeluarkan amaran cuaca buruk seperti ribut musim sejuk, angin kencang, hujan batu dan ribut salji di tujuh wilayah berasingan.

Pakar Kaji Cuaca di Jabatan Alam Sekitar Kanada, David Phillips berkata, insiden cuaca sejuk melampau itu berlaku akibat fenomena udara sejuk di Artik.

Menurutnya lagi, kebanyakan kawasan di Kanada kini mengalami musim sejuk yang ekstrem dan keadaan dijangka kembali seperti biasa menjelang minggu depan. - Press TV