• Pakar forensik Perancis dan anggota polis memeriksa bukti yang ditemui di luar lokasi serangan ke atas pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo. semalam. - Foto AP

Pakar forensik Perancis dan anggota polis memeriksa bukti yang ditemui di luar lokasi serangan ke atas pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo. semalam. - Foto AP

PARIS - PERANCIS. Seorang suspek berusia 18 tahun yang disyaki terbabit bersama dua beradik dalam serangan ke atas akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo di Paris, semalam, dilaporkan sudah menyerah diri kepada polis.

Terdahulu, menurut laporan agensi berita antarabangsa, AP, polis Perancis mengesahkan sudah mengenal pasti tiga lelaki sebagai suspek melakukan serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 nyawa semalam.

Individu berkenaan adalah Said Kouachi dan Cherif Kouachi yang merupakan warga Perancis, berumur lingkungan awal 30-an manakala seorang lagi dikenali sebagai Hamyd Mourad, berusia 18 tahun dengan kerakyatan yang belum disahkan.

Seorang pegawai polis berkata, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Yaman.

Serangan bersenjata itu menyebabkan 12 orang terbunuh selepas akhbar itu sebelum ini dilaporkan membangkitkan kemarahan orang Islam apabila menerbitkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW.