Search This Blog

Sunday, January 4, 2015

Budak selamat nahas pesawat


Eddyville (Amerika Syarikat): Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang terselamat dalam nahas pesawat yang mengorbankan empat penumpang lain berjalan dalam keadaan ‘mamai’ dari tempat kejadian untuk melaporkan insiden berkenaan kepada penduduk tempatan.
Pesawat kecil Piper PA- 34 terbabit melaporkan mengalami masalah enjin sebelum terus hilang hubungan dengan pusat kawalan trafik udara sejurus selepas itu, ketika berada di kawasan barat daya Amerika kira-kira 6.55 petang, kata jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Jurucakap Polis Negeri Kentucky Sarjan Dean Patterson, semalam berkata, setengah jam kemudian, seorang penduduk daerah Lyon menghubungi talian kecemasan memaklumkan kanak-kanak berusia tujuh tahun berjalan ke rumahnya mendakwa terbabit dalam nahas pesawat.
“Kanak-kanak itu keluar sendiri dari bangkai pesawat dan berjaya berjalan hingga ke kawasan penduduk berhampiran untuk melaporkan kemalangan berkenaan.
“Memang satu keajaiban apabila dia terselamat, tetapi malangnya, empat mangsa yang lain maut,” katanya.
Menurut Patterson, kanak-kanak berkenaan masih mengalami gangguan emosi dan dibawa ke hospital untuk diberi rawatan, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Ekoran laporan dibuat, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari tapak nahas dan menemui tapak kemalangan di kawasan hutan berhampiran tasik Kentucky dua jam kemudian. Mayat juruterbang dan tiga penumpang turut ditemui.
Katanya, identiti mangsa masih belum didedahkan. Pihaknya juga masih menyiasat hubungan budak terbabit dengan mangsa lain. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:34 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21374#sthash.vK7PBTWr.dpuf

No comments:

Post a Comment