Tujuannya untuk memeriksa kandungan Noor Azlina yang sudah berusia sembilan bulan.
Namun tanpa disangka, perjalanan mereka tidak dapat diteruskan apabila sebuah lori tiba-tiba terbabas lalu merempuh kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka.
Turut dirempuh ialah tujuh kenderaan lain yang berada berdekatan.
Biarpun pasangan itu selamat, namun kesedihan menyelubungi mereka dan seluruh ahli keluarga apabila bayi lelaki yang dilahirkan secara normal oleh Noor Azlina di HSAH kira-kira sejam selepas kejadian, disahkan meninggal dunia.
Biarpun ada andaian mengatakan bayi itu maut akibat rempuhan kuat dalam kemalangan tersebut, namun Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya masih menanti laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian itu.
“Difahamkan kejadian itu berlaku apabila lori berkenaan yang datang dari arah Taman Keladi tiba-tiba terbabas sewaktu membelok menuju ke Taman Kempas lalu merempuh lapan kenderaan yang sedang menanti lampu isyarat merah termasuk kereta dinaiki pasangan tersebut.
“Setakat ini, polis menahan pemandu lori terbabit untuk siasatan lanjut. Mengenai punca kematian bayi itu pula, kami masih menanti laporan bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, suasana di Wad Kenanga 1, HSAH, iaitu tempat Mohd. Zaharin dirawat, pilu seketika apabila beliau meminta kepada pihak hospital untuk menatap dan mencium jenazah anak keempatnya itu.
Menurut salah seorang anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Skuad Sungai Petani, Mohd. Amir Faizal yang berada di situ, tangisan dan kesedihan sanak-saudara serta kenalan pasangan itu menyelubungi wad berkenaan apabila Mohd. Zaharin dibenarkan menatap dan mengucup bayi lelakinya itu.
Difahamkan Noor Azlina masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH sementara jenazah bayi itu akan dikebumikan di Kampung Ekor Kucing, Pinang Tunggal esok.