Search This Blog

Friday, January 9, 2015

Anggota polis dituduh tukar sampel air kencing


Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Seorang anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, atas pertuduhan menerima suapan RM500 daripada seorang wanita bagi menukar sampel air kencing daripada positif dadah kepada negatif di sebuah bank di Gemas, Tampin pada 23 Julai tahun lalu.
Tertuduh, Sarjan Zaharudin Mohd Nor, 52 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pendakwaan, tertuduh menerima RM500 daripada seorang wanita, Nazariah Abdul Rahman di sebuah bank di Jalan Mahkamah, Gemas, Tampin pada jam 1.51 petang, 23 Julai tahun lalu bagi menukar sampel air kencing milik Khairil Anuar Kardi daripada positif dadah kepada negatif.
Tertuduh yang bertugas di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya dari Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Negeri Sembilan Nurdiyana Mohd Nawawi menawarkan jaminan RM14, 000 kerana membabitkan kes serius sebelum Kamaruddin memberikan jaminan RM8000.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan kes disebut semula pada 13 Februari depan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 11:18 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22713#sthash.IRJ0j55E.dpuf

No comments:

Post a Comment