Jurucakap syarikat penerbangan itu berkata, mereka akan menyediakan sebanyak AS$100,000 (RM357,257) dalam bentuk pampasan untuk setiap penumpang terbabit sebagai tambahan kepada AS$24,000 (RM85,741) yang telah ditawarkan kepada keluarga mangsa.
Beliau memberitahu portal berita CNN, AirAsia akan mematuhi peraturan Kementerian Pengangkutan Indonesia yang menetapkan pampasan berjumlah AS$98,000 (RM350,112) bagi kematian yang berpunca akibat nahas penerbangan.
Sebanyak 162 penumpang berada di dalam pesawat itu ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu sebelum pesawat itu hilang daripada radar.
Konvensyen Montreal memberi jaminan bahawa jumlah minimum yang patut diterima keluarga mangsa nahas penerbangan adalah kira-kira AS$174,000 (RM621,627), namun ketetapan itu hanya diguna pakai di negara yang mengiktiraf konvensyen tersebut.
Indonesia tidak menandatangani konvensyen itu.
Proses pembayaran pampasan itu dijangka mengambil masa, sepertimana yang berlaku kepada waris penumpang pesawat Penerbangan Malaysia, MH370.