Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah daerah itu dalam tiga serbuan berasingan antara pukul 2.45 pagi hingga 6 petang.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan ketika sekatan jalan raya di Kilometer 25.6, Jalan Jasin-Bemban apabila pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna putih dalam keadaan mencurigakan dinaiki empat lelaki Vietnam.
“Hasil pemeriksaan salah seorang daripada suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Pemeriksaan pada kenderaan pula menemukan beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan mereka iaitu topeng, sarung tangan, pemotong, gunting besi, pemutar skru, mesin pemotong dan anak kunci bersama penggera.
“Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati salah seorang daripadanya positif mengambil dadah jenis methamphetamine dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin memberitahu, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap empat suspek tersebut membawa kepada pengakuan mereka yang terlibat dalam kejadian pecah pejabat di Bemban dan Chinchin.
Katanya, polis kemudian telah melakukan pemeriksaan di dua buah rumah sewa di Taman Sri Krubong dan menahan masing-masing seorang lelaki warga Vietnam.
Menurutnya, salah seorang daripada suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain pihaknya menjumpai tiga peket plastik lutsinar dan satu tiub straw bahan disyaki dadah.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 11 ke-ping pasport dan beberapa barangan seperti senjata tajam, komputer riba pelbagai jenama, telefon bimbit, mata mesin pemotong, tali, lampu kepala, kamera serta kuku kambing selain sebuah motosikal jenis Yamaha,” katanya.
Kata Muhd. Nur Hishamuddin, kumpulan penjenayah itu bergerak aktif pada waktu malam khususnya hari cuti dan kelepasan am dengan menyasarkan bangunan-bangunan pejabat sejak setahun lalu.
Jelasnya, modus operandi kumpulan itu adalah memanjat bumbung dan kemudian memotong atap zink dan memecahkan siling seterusnya turun ke dalam pejabat dengan menggunakan tali dan menyasarkan wang tunai, peti besi, komputer dan juga pasport warga Vietnam yang terdapat dalam pejabat.
“Pihak kita mempercayai de-ngan penangkapan enam warganegara Vietnam ini dapat menyelesaikan beberapa kes pecah pejabat antaranya dua kes di Jasin, Alor Gajah (2), dan kes curi motosikal di Subang Jaya, Selangor serta (2) kes cap jari positif bersabit kes pecah pejabat iaitu di Sungai Mati Muar, Johor dan Desa Jaya Gombak, Selangor,” katanya.
Tambah Muhd Nur Hishamuddin, jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda.