Search This Blog

Thursday, January 29, 2015

40 judul buku dirampas


Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 40 judul bahan bacaan yang dikesan mengandungi unsur menyemai ideologi radikal dirampas polis menerusi beberapa serbuan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi merampas buku terbabit bermula sejak pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Sejak pelaksanaan akta berkenaan, kami sering melaksanakan pelbagai operasi termasuk serbuan bagi mengekang penularan ideologi radikal terutamanya dalam bentuk bahan bacaan ilmiah.
“Berdasarkan maklumat kami, kebanyakan individu yang ditahan atas kesalahan menyokong gerakan militan ini terdedah dengan bahan bacaan terbabit sebelum mereka sendiri berjuang di beberapa negara bergolak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pembongkaran kegiatan segelintir peniaga yang menjual buku agama yang mendokong perjuangan radikal, sekali gus menyemarakkan semangat pembaca untuk berjihad menerusi acuan kumpulan tertentu.
Pendedahan eksklusif itu dibuat akhbar ini Selasa lalu berdasarkan hasil tinjauan di beberapa kedai buku sekitar ibu negara yang menjual pelbagai judul bahan bacaan terbabit secara tersembunyi.
Sebahagian kandungan buku keagamaan itu turut dikesan cuba memanipulasi pandangan kontroversi beberapa tokoh Islam, sekali gus menghalalkan niat mereka untuk berjihad tanpa mendapatkan pandangan ulama lain.
Antara judul buku yang dirampas Kalau Bukan Jihad Apa Lagi?, Syubhat Salafi, Akankah Sejarah Terulang, siri lengkap Tarbiyah Jihadiyah, Jihad Jalan Tunggal Menuju Khilafah, Syarh Al-Aqidah Al-Wasithiyah dan beberapa judul lagi.
Ayob Khan berkata, pihaknya masih melakukan pemantauan terhadap kegiatan berkenaan kerana ia dibimbangi mampu meracuni minda masyarakat, sekali gus menyemarakkan semangat mereka untuk berjihad menerusi konsep yang bertentangan dengan Islam sebenar.
Beliau berkata, bahan bacaan ilmiah itu perlu diawasi kerana terdapat pihak tertentu yang cuba menyemai pemikiran ekstremis dalam kalangan masyarakat awam.
Menurutnya, polis turut menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan bahan bacaan berbentuk jihad dan tidak mudah terpengaruh dengan promosi agenda jihad yang tidak mengikuti pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 6:51 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27057#sthash.Yb4f8rht.dpuf

No comments:

Post a Comment