Search This Blog

Monday, January 12, 2015

4 bot, tujuh enjin lesap

Oleh Togi Marzuki 
am@hmetro.com.my

Pontian
Tujuh nelayan kerugian lebih RM80, 000 selepas empat bot dan tujuh enjin serta kelengkapan menangkap ikan yang diletak di Jeti Nelayan Penerok, di sini, dilarikan pencuri, kelmarin.
Kehilangan hanya disedari nelayan terbabit jam 12.15 tengah malam sekembali dari menghadiri gotong-royong majlis perkahwinan seorang nelayan yang terletak hanya 300 meter dari jeti berkenaan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Penerok Mohd Tahir Abdullah berkata, kebiasaannya terdapat empat hingga lima nelayan bergilir-gilir menjaga keselamatan bot di jeti berkenaan setiap malam.
Katanya, bagaimanapun, selepas menunaikan solat Isyak berjemaah di surau berdekatan, beliau dan beberapa nelayan ke rumah penduduk yang terletak berdekatan untuk menyertai gotong-royong majlis perkahwinan.
“Selesai majlis, kami kembali ke jeti dan terkejut apabila mendapati empat bot dan tujuh enjin serta kelengkapan menangkap ikan lesap.
“Selain melakukan kawalan, nelayan turut mengikat bot masing-masing pada tiang konkrit dengan rantai besi kerana bimbang menjadi sasaran berikutan kerap berlaku kecurian di jeti ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Mohd Tahir berkata, berdasarkan kesan pada rantai besi yang dipotong itu, pihaknya yakin pencuri menggunakan peralatan khas untuk berbuat demikian.
Katanya, sehubungan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Permas, Kukup untuk tindakan lanjut selain turut memaklumkan kejadian itu kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng.
Seorang nelayan, Azimi Ahmad, 44, berkata, kehilangan botnya bersama enjin serta kelengkapan menangkap ikan itu, sekali gus menjejaskan mata pencariannya.
Menurut bapa kepada seorang anak berusia 12 tahun itu, dia sedih kerana penjenayah menunggu peluang untuk bertindak ketika mereka membantu seorang penduduk yang melangsungkan majlis perkahwinan anaknya.
“Ini sahaja mata pencarian saya. Semua kelengkapan termasuk bot dan enjin saya peroleh dengan mengumpul wang sejak mula menjadi nelayan ketika masih remaja.
“Kini semuanya lenyap sekelip mata dan saya tidak tahu bagaimana untuk terus cari makan dan menyara keluarga selepas bot dan enjin dikebas pencuri,” katanya.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya melakukan siasatan sambil menasihatkan orang ramai yang ditawarkan enjin serta bot terpakai dengan harga yang rendah supaya tampil menyalurkan maklumat.
Sementara itu, Wee berkata, beliau simpati dengan apa yang menimpa tujuh nelayan terbabit, sekali gus menyukarkan mereka untuk menyara keluarga terutama yang mempunyai anak bersekolah.
Katanya, bagi jaminan semua nelayan terbabit tidak putus mata pencarian, beliau akan membantu mereka sewajarnya dalam masa terdekat.
“Sementara menunggu bantuan itu, jika boleh nelayan terbabit mengambil inisiatif lain sama ada mengambil upah menangkap ikan bersama rakan lain atau bekerja sementara dalam bidang lain bagi menampung keperluaan harian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:37 AM


MANGSA menunjukkan lokasi bot, enjin dan kelengkapan menangkap ikan di Jeti Nelayan Penerok Nelayan yang dilarikan pencuri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23277#sthash.ryJ0o08J.dpuf

No comments:

Post a Comment