Search This Blog

Thursday, January 29, 2015

2 lelaki ‘bersiar-siar’ ditahan

Kuantan: Tindakan pantas unit rondaan polis menahan dua lelaki yang kononnya ‘bersiar-siar’ di sekitar kawasan perumahan Taman Indera Sempurna di sini semalam membongkar identiti sebenar mereka sebagai individu dikehendaki terhadap kesalahan jenayah samun dan dadah.
Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari unit rondaan diketuai Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, anggota polis berkenaan kemudian terserempak dengan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 20 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Kita meminta mereka memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan lanjut dan suspek terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk mahu bersiar-siar di kawasan perumahan berkenaan.
“Pada masa sama, kita juga melakukan pemeriksaan susulan terhadap kenderaan suspek. Siasatan lanjut mendapati mereka adalah individu dikehendaki membabitkan kes dadah dan samun di Jerantut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata, semua suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, untuk tindakan lanjut termasuk melakukan ujian air saringan air kencing terhadap mereka.
“Kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang daripada mereka mempunyai 10 rekod jenayah lampau,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:26 AM


SUSPEK dikehendaki polis ditahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26884#sthash.4BkOchI8.dpuf

No comments:

Post a Comment