 |
Keadaan kedua-dua kereta yang remuk dalam kemalangan semalam |
KOTA BHARU- Seorang pelajar semester dua, Institut Kemahiran Mara (IKM) Pekan Pahang, maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian hadapan kereta Perodua Myvi di laluan bertentangan di Jalan Pasir Mas-Salor di sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, pemuda berusia 19 tahun berkenaan maut di tempat kejadian manakala tiga beranak termasuk seorang wanita mengandung, seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dan lelaki dalam Perodua Myvi mengalami kecederaan.
Dipercayai kereta yang dipandu, Abdul Hadi Mohd Arifin, memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Myvi yang dinaiki tiga sekeluarga itu.
Saksi kejadian, Mohd Subri Jali, 24, berkata, sebelum kejadian dia mengekori kereta pemuda itu dari belakang yang cuba memotong kenderaan lain di hadapannya.
“Tidak sempat memotong, kereta Wira terbabit kemudiannya merempuh kereta Myvi di laluan bertentangan dan saya lihat pemandunya tersepit.
“Pemuda berkenaan sempat meminta tolong, dan saya cuba membuka pintu namun tidak berjaya dan hampir setengah jam mencuba saya kemudiannya menghubungi bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan kejadian.
Menurutnya, apabila bomba sampai, pemuda berkenaan yang mengalami kecederaan parah di kepala tidak lagi bergerak dan hampir sejam kemudiannya pemuda itu berjaya dikeluarkan.
“Manakala tiga beranak dalam kereta Myvi itu mengalami kecederaan dan anaknya turut cedera dan dibawa ke hospital,” katanya.
Sementara itu abang pemuda berkenaan, Hasudi Mohd Ariffin, 35, berkata, dia hanya mengetahui tentang adiknya terlibat dalam kemalangan selepas dimaklumkan orang awam, melalui panggilan telefon.
“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat keadaan adik saya, lagipun semalam dia keluar rumah tanpa memberitahu hendak ke mana dan saya juga tidak sempat bertanya.
“Memang saya agak terkejut, dan buat masa ini menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Jenazah pemuda terbabit di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.