KUALA LUMPUR - Bagi tempoh 2000 hingga 2013, terdapat sebanyak 838,510 saman tertunggak belum dijelaskan oleh pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di negara ini.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata, kebanyakan saman tertunggak itu membabitkan pemandu warga Singapura.
"Jumlah tertunggak bagi pemandu warga Singapura adalah 313,661 iaitu 37.4 peratus diikuti Brunei (48,179), Thailand (17,654), Indonesia (2,614) dan lain-lain (456,402)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi mengesan kesemua pesalah trafik yang gagal membayar saman ini, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menjalankan kerjasama dengan Jabatan Imigresen serta mengadakan sekatan di pintu-pintu masuk negara untuk
menjejaki individu berkenaan bagi menyelesaikan saman tertunggak.
"Polis meminta agar pemandu warga asing tidak kira dari Singapura, Brunei mahupun Thailand, yang ingin masuk semula ke negara Malaysia supaya segera menyelesaikan saman terbabit sebelum dikenakan tindakan lanjut. Tolong hormati undang-undang kita.
"Pemandu warga asing juga boleh membayar saman tertunggak melalui www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my dengan menggunakan kad kredit," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fuad berkata, bagi tempoh 2011 sehingga November lepas, sebanyak 42,864 saman dikeluarkan bagi kesalahan memotong atau menggunakan lorong kecemasan.
"Sepanjang Ops Selamat 5 yang lepas juga, sejumlah 2,529 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya seluruh negara atas kesalahan memotong Q dan memotong garisan berkembar," katanya.
Katanya, dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang lalu lintas, pihaknya menerima 55 unit kamera 'trucam' yang diedarkan kepada semua kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Zon Peronda Lebuh Raya.-Bernama