Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12573#sthash.jrHCxt43.dpuf
apendy@hmetro.com.my
Sungai Siput: Polis berjaya mematahkan cubaan menghidupkan kembali kegiatan perjudian komputer di daerah ini dengan tertangkapnya seorang lelaki yang bertindak sebagai penganjur dan sembilan kaki judi dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Salak Bahru, di sini awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pemilik rumah berkenaan yang berusia 56 tahun diberkas kerana dipercayai menjadikan kediamannya sebagai pusat perjudian komputer.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan Ernest John berkata, selain penganjur kegiatan haram itu, sembilan lelaki dioercayai kaki judi berusia 17 hingga 29 tahun turut ditangkap dan polis merampas enam komputer riba yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian.
"Selepas operasi besar-besaran memerangi kegiatan perjudian komputer dilaksanakan bermula bulan lalu, kegiatan berkenaan di daerah ini berjaya dilumpuhkan, namun hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan polis berjaya mengesan cubaan menghidupkan kembali kegiatan itu termasuk menjadikan premis kediaman sebagai pusat judi.
"Penganjur terbabit dipercayai baru sehari menjalankan operasi perjudian di rumahnya itu dan hasil maklumat serta risikan sepasukan polis bertindak menyerbu kediaman terbabit," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM500 dan kesemua yang ditahan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 12:47 PM