BEBERAPA anggota bomba memimpin Mohd. Yahya (tengah) selepas dia ditemui di sebuah kebun getah berhampiran Hutan Simpan Bukit Wang, Alor Setar dalam keadaan lemah semalam.
JITRA – Seorang pekerja jentera berat yang dilaporkan hilang selepas berkelah bersama keluarganya di kawasan Hutan Simpan Bukit Wang kelmarin ditemui dalam keadaan lemah di sebuah kebun getah kira-kira tiga kilometer dari pintu masuk ke tapak perkelahan itu semalam.
Mohd. Yahya Ahmad Bakri, 25, ditemui oleh beberapa penduduk kampung ketika sedang merayau-rayau di kawasan bukit berhampiran kebun getah itu kira-kira pukul 10.15 pagi, kurang 24 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Seorang penduduk, Suhaimi Mohd. Salleh, 44, dari Kampung Padang Paya di sini berkata, ketika kejadian dia dan beberapa rakannya sedang menoreh di kebun itu sebelum terdengar suara seseorang dari kawasan bukit berhampiran.
“Kami saling bersahut-sahutan sebelum seorang lelaki muncul beberapa minit kemudian dari celah-celah pokok getah.
“Saya memang tahu ada kejadian orang hilang di kawasan perkelahan ini kelmarin dan mengesyaki dia adalah orang yang dicari kerana tidak pernah melihat wajahnya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3Ixj5VkqX
Hakcipta terpelihara