Hakim Rosilah Yop memutuskan demikian dengan kos RM40,000 terhadap writ saman terpinda bertarikh 20 Mac lalu yang difailkan Mohd. Fakry Sidek, 33, yang bertugas sebagai kerani di sebuah perbadanan di Putrajaya ketika kejadian.
Mohd. Fakry selaku pihak plaintif mendakwa pihak pendakwaan telah berniat jahat ketika mendakwanya atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada pukul 1.30 petang, 10 Januari 2012 sebelum menarik balik tuduhan tersebut pada 3 Januari tahun lalu.
Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan terpinda menyatakan, dia telah pergi ke kuarters yang didiami oleh seorang rakan wanita yang tinggal bersama seorang anak perempuan pada pukul 1.10 pagi, hari yang sama selepas diberitahu yang pihak penguat kuasa Jawi telah menyerbu rumah tersebut.
Semasa berada di dalam kereta Viva setibanya di tempat meletak kenderaan di kuarters itu, Mohd. Fakry mendakwa, pihak penguat kuasa telah menuduhnya berkhalwat dengan wanita yang ketika itu berada di tingkat 4 sebelum dia dipaksa naik ke rumah berkenaan menggunakan kekerasan fizikal.
Hakim Rosilah dalam penghakimannya bagaimanapun berpendapat, pihak plaintif mempunyai reputasi yang tidak baik memandangkan dia pernah mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat dengan wanita yang sama pada 2009 dan membayar denda.
Disebabkan itu beliau berpendapat, pihak plaintif tidak wajar diberi ganti rugi kerana pertuduhan khalwat oleh pihak pendakwaan terhadapnya adalah berasas.
Mengenai dakwaan pihak pendakwaan berniat jahat, mahkamah mendapati tangkapan yang dibuat oleh pihak Jawi ke atas pihak plaintif adalah wajar dan sah di sisi undang-undang.
Berdasarkan keterangan saksi-saksi pihak Jawi, hakim itu menyatakan, plaintif yang bertindak agresif menyerang dan menggunakan kekerasan serta enggan memberi kerjasama kepada penguat kuasa yang menjalankan tugas.
Tiada sebab untuk mahkamah menurut Hakim Rosilah, untuk tidak mempercayai keterangan saksi yang didapati saling sokong-menyokong antara satu sama lain itu dan kredibiliti mereka tidak pernah dipersoalkan.
Menurut keterangan saksi-saksi, wanita yang berada di rumah tersebut mengambil masa yang lama untuk membuka pintu dan setelah dibuka, pihak penguat kuasa mendapati tingkap di dalam bilik tidur itu terbuka selain didapati palang besi di luar rumah kelihatan bengkok.
Pihak penguat kuasa yang telah melakukan pemerhatian mendapati plaintif dan pasangannya serta kanak-kanak perempuan tersebut dilihat menuju ke rumah itu dan keluar pada pukul 9.30 malam sebelum masuk semula pada pukul 11.30 malam.
Dalam saman tersebut, pihak plaintif menamakan 10 defendan terdiri daripada empat pegawai penguat kuasa Pembantu Hal Ehwal Islam; Ketua Penolong Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Yaakob Abd. Rahim; dan Pendakwa Syarie, Mohd. Hafiz Idris.
Yang turut disenaraikan sebagai defendan ialah Ketua Pendakwa Syarie, Ibrahim Deris; bekas Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan kerajaan Malaysia. - UTUSAN ONLINE