Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Lelaki ini jadi pembunuh paling tampan sejagat

Lelaki Brasil jadi pembunuh paling tampan sejagat22/10/14
Tiago Henrique Gomes da Rocha pembunuh tampan dari  Brazil. dailymail.co.uk ©2014 Merdeka.com  
 Dengan tangan berlumuran darah, lelaki asal Brazil dinobatkan penjahat berwajah tampan. Dia mengaku telah membunuh sekitar 39 orang termasuk 16 wanita serta tuna wisma, dan banci. Dia membunuh mereka sebab mempunyai masa kecil buruk. 

Surat khabar the Daily Mail melaporkan, Rabu (22/10), Wajahnya cukup tampan dan mata teduh namun tak ada yang menyangka ternyata Tiago Henrique Gomes da Rocha, 26 tahun, seorang pembunuh berdarah dingin. Dia mengatakan ini akibat mendapat kekerasan seksual ketika  masih kanak-kanak. Dia berusaha bunuh diri dengan menyayat nadinya menggunakan pecahan bohlam.

Selama sembilan bulan dia membunuh siapa saja ditemuinya di Kota Goiania, Brazil  tengah. Akhir minggu lalu dia ditangkap setelah pemburuan besar-besaran. Namanya masuk dalam daftar buruan polis sejak awal tahun ini.

Dari sel tahanannya Da Rocha menceritakan kisahnya pada wartawan James Young dari surat khabar Inggeris The Sun. Dia mendapat seksaan secara seksual hingga usia 11 tahun dari ayahnya. Setelah itu dia juga sering diperkosa tetangganya.

"Saya merasa sangat hina. Saya marah dan kemarahan ini terus tumbuh sejak peristiwa itu. Saya juga sering mabuk. Ketika usia 22 tahun saya akhirnya memutuskan menyalurkan kemarahan ini," ujar Da Rocha.
Lebih menyeramkan lagi polis  menemui fakta yang membunuh ternyata menjadi hobi Da Rocha. Wakil Ketua  Polis   Eduardo Prado mengatakan Da Rocha pernah bertanya pada wader , apakah dihitung satu jenayah jika dia membunuh banduan.

Da Rocha juga mempunyai kebiasaan aneh. Dia membaca, entah majalah atau buku dimulai dari belakang hingga depan. Da Rocha juga selesai membaca 40 majalah dalam beberapa minit.

Polis  juga mengatakan nampaknya Da Rocha tidak menyukai dirinya dan berusaha untuk menghilangkan nyawanya sendiri. Salah seorang  penjaga penjara pernah dimintakan tolong mengambil benang pembersih gigi. Ketika ditanyakan untuk apa benda itu, Da Rocha menjawab untuk bunuh diri.
sumber :merdeka.com

Penjual burger dipenjara 16 tahun

PENJUAL burger dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun. FOTO ihsan Yahya Kiprawi
Oleh Omar Ahmad
Johor Bahru: Seorang penjual burger dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur.
Hairul Lisan Husin, 28, dituduh melakukan perbuatan itu di rumah tidak dikenal pasti di kawasan Kampung Melayu Pandan, di sini pada 10 Januari 2014 jam 3.15 pagi.
Hakim Muhammad Jamil Husin menjatuhkan hukuman selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang menjual burger di gerai yang terletak di hadapan rumah mangsa dikatakan mengajak mangsa keluar untuk berkenalan dengan menaiki motosikal.
Mangsa yang berumur 16 tahun itu kemudiannya dibawa ke lokasi tidak diketahui dan dirogol sebelum ditinggalkan di sebuah kedai karoke di Kampung Melayu Pandan.
Mangsa yang baru berpindah dua bulan dan tidak mahir dengan persekitaran kawasan itu kemudian berjaya menghubungi ibunya dan seterusnya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Dalam kes itu didapati kemaluan mangsa mempunyai kesan koyakan baru secara paksa.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar.
Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Azni Sidek.
PENJUAL burger dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun. FOTO ihsan Yahya Kiprawi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:20 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3291#sthash.bwiKERBB.dpuf

14 individu didakwa sebar ajaran Millah Abraham


Oleh Murni Wan Omar

murni@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 14 individu termasuk empat wanita dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, atas dakwaan mengembangkan kepercayaan ajaran Millah Abraham.
Tiga daripada mereka iaitu Zakaria Mat Kasar, 40 an; Kamarudin Anuar, 48, dan Johan Haruna, 40, didapati mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain dari agama Islam kepada yang beragama Islam.
Ajaran itu dikenali sebagai Millah Ibrahim atau Abraham.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis perniagaan, terletak di tingkat dua, B-2-3, Blok B, Jalan 2/142A, Megan Phoenix, Jalan Cheras, di sini antara jam 9 malam hingga jam 9.25 malam, semalam (20 Oktober 2014).
Bagi perbuatan itu mereka di dakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala 11 individu lain ialah Mahamad Azhari Tajudin, 43; Mohd Arif Abd Aziz, 33; Amirol Hafiz Mohd Samad, 24; Abdul Azim Abdullah, 29; Anuar Zainal, 47; Aizul Farikh Zainal Abidin, 39; Mohamad Harizal Kamaruddin, 36; Kamalia Mohamed Taib, 34; Nur Ridah Osman, 26; Heffy Syamsuar, 32 dan Liliwati Eden, 36.
Mereka didakwa bersama-sama di tempat dan waktu yang sama mengambil bahagian di dalam majlis yang mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama yang dikenali sebagai Millah Ibrahim atau Abraham.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 43(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semua tertuduh faham dengan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Hakim Syarie Ibrahim Deris menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula.
Pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hassin.
Mahkamah membenarkan Zakaria, Kamarudin dan Johan masing-masing diikat jamin RM2,000 manakala tertuduh lain dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,500 seorang.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 8:08 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3345#sthash.3LJbaIae.dpuf

Pengajar skuba warga China mati lemas


Oleh Norasikin Daineh

am@hmetro.com.my

Semporna: Seorang lelaki warga China yang akan menamatkan perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar skuba di sebuah resort ditemui mati lemas berhampiran jeti Taman-Taman Sabah, Pulau Sipadan, semalam.
Dalam kejadian ‎kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Chen Hui, 36, ditemui terapung oleh pekerja resort Sipadan Mabul yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Umbuas berkata, hasil laporan awal mendapati‎ mangsa ke Pulau Sipadan dengan menggunakan bot resort.
"Mangsa dipercayai membawa tiga tong oksigen dan menyelam seorang diri kira-kira jam 10.30 pagi.
"‎Difahamkan, pada hari kejadian adalah hari terakhir mangsa bekerja di resort dan akan balik ke China esok," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Peter berkata, menurut maklumat, mangsa bekerja di resort terbabit selama tiga tahun sebagai tenaga pengajar skuba.
"Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui orang ramai selepas terapung di permukaan air di lokasi menyelam.
"Hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan hanya terdapat sedikit sisa makanan yang keluar dari mulut mangsa," katanya.‎
Sehubungan itu, pihak polis mengesahkan bahawa kejadian itu tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa dipercayai mati akibat lemas.
"Ketika kejadian, air surut sedalam 0.6 meter dan ‎mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk dibedah siasat.
"Pihak kedutaan dan keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan," katanya.‎
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:09 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3300#sthash.nZfFlxd8.dpuf

Putus kepala, tangan digilis

FOTO ihsan pembaca
Oleh Syazwan Msar

am@hmetro.com.my

Lipis: Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis kereta api di Kampung Lanar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.23 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenalpasti identitinya digilis kereta api yang dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian disedari pemandu kereta api berkenaan selepas terlanggar sesuatu.
"Sebaik memberhentikan kenderaan dan melakukan pemeriksaan, pemandu berkenaan menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan kepala dan tangannya putus sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.
"Siasatan awal tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa namun tidak menolak kemungkinan mangsa berbangsa India," katanya ketika dihubungi, di sini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis, di sini, untuk dibedah siasat dan pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 2:48 PMm- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3280#sthash.w1JacHtW.dpuf

Tujuh warga asing nyaris maut rumah dijilat api


Oleh Ardyhansah Amat

hmkk@hmetro.com.my

Sandakan: Tujuh warga asing termasuk tiga kanak-kanak terselamat apabila seorang daripada mereka terjaga daripada tidur selepas terhidu bau 'hangit' dalam kejadian kebakaran dua rumah di Jalan Utara, Batu 3 1/2, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam, semua warga asing terdiri daripada dua keluarga itu baru saja tidur selepas menyaksikan perlawanan bola sepak di rumah mereka.
Difahamkan, seorang daripada mangsa terjaga selepas terhidu bau objek terbakar sebelum mendapati api sedang marak di bahagian dinding rumah menyebabkannya bingkas mengejutkan ahli keluarga lain dan lari menyelamatkan diri.
Sebaik keluar, mangsa mendapati rumah jiran yang terletak bersebelahan hampir musnah manakala api mula merebak ke kediaman mereka.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan Devi Rashedee Engsoi berkata, insiden kebakaran dipercayai bermula daripada rumah jiran mangsa yang terletak bersebelahan sebelum merebak ke rumah tujuh warga asing itu.
"Bagaimanapun, jiran mangsa gagal ditemui sepanjang operasi memadamkan api yang tamat pada 11.22 malam tadi.
"Bomba masih melakukan siasatan punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Tambah Devi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.04 malam sebelum tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
"Kebakaran memusnahkan dua unit rumah yang diperbuat daripasa papan.
"Kejadian turut menyebabkan sebuah lori yang diparkirkan berhampiran turut terbakar hampir 50 peratus," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:30 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3293#sthash.7iToJZEU.dpuf

Mangsa samun maut selepas enam hari

KEADAAN pengawal keselamatan ketika ditemui , Rabu lalu. FOTO Khairunisah Lokman
Oleh Yusmawati Mhd Yusof

yusmawati_yusof@hmetro.com.my

Melaka: Selepas enam hari bertarung nyawa, pengawal keselamatan warga emas yang ditemui parah dengan kedua-dua tangan dan ibu jari kaki diikat dalam satu kejadian samun di sebuah sekolah memandu Rabu lalu meninggal dunia di Hospital Melaka, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa Omar Yusof, 63, meninggal dunia jam 11 pagi semalam di Hospital Melaka.
"Sejak hari kejadian mangsa ditempatkan di Zon Merah Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia jam 11 pagi semalam.
"Justeru, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha memburu ketiga-tiga suspek masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Harian Metro Khamis lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan terpaksa menahan kesakitan sehingga tidak sedarkan diri lebih empat jam sebelum ditemui terbaring berlumuran darah dengan kedua-dua tangan dan kedua-dua ibu jari kaki diikat, manakala mulutnya ditampal dengan pita pelekat dalam kejadian di sebuah sekolah memandu di Kandang, di sini.
Mangsa ditemui pengusaha kantin di sekolah memandu itu jam 7.30 pagi.
Menurut sumber, mangsa dipercayai dipukul dengan kayu di belakang kepala oleh seorang daripada tiga lelaki yang menceroboh sekolah memandu itu dengan memanjat pagar jam 3.30 pagi hari sama.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:44 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3296#sthash.p4icPtBd.dpuf

Anggota polis dituduh minta rasuah

ISMAIL (kiri) dan Zaidi mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta dan memperoleh rasuah. FOTO Muhammad Mikail Ong
Oleh Salman Hamat 
salman@hmetro.com.my


Butterworth: Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas tuduhan meminta dan memperoleh rasuah pada November 2010.
Tertuduh Lans Koperal Ismail Mohamad Bohari, 35, dan Konstabel Zaidi Tahir, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Moer Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Zaidi, berhadapan tiga pertuduhan iaitu menerima suapan berjumlah RM10,000 daripada Lee Chia Yoong sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Chia Yoong dan Lee Theng Theng yang disyaki memiliki 96 biji pil eramin 5.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kampung Puyu Seberang Perai Utara, antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari  pada 6 November 2010.
Ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, Zaidi didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 daripada Lee Chia Yoong sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Chia Yoong dan Lee Theng Theng yang disyaki memiliki 96 biji pil eramin 5, kesalahan itu dilakukan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Raja Uda, Seberang Perai Utara pada jam 1 petang, hari sama (6 November 2010).
Bagi pertuduhan ketiga Zaidi dituduh menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,000 juga sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Chia Yoong dan Lee Theng Theng yang disyaki memiliki 96 biji pil eramin 5, kesalahan itu dilakukan di lokasi sama, antara jam 5 hingga 5.15 petang, pada 10 November 2010.
Pendakwan bagi kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Manakala Ismail, dituduh bersubahat bersama Zaidi, secara menerima wang suapan RM5,000 daripada Lee Chia Yoong sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Chia Yoong dan Lee Theng Theng yang disyaki memiliki 96 biji pil eramin 5.
Kesalah itu dilakukan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Raja Uda Seberang Perai Utara, jam 1 petang 6 November 2010.
Bagi pertuduhan kedua Ismail, beliau dituduh bersubahat bersama Zaidi secara menerima wang suapan wang tunai RM3,000 daripada Lee Chia Yoong sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Chia Yoong dan Lee Theng Theng disyaki memiliki 96 biji pil eramin 5. Kesalah itu dilakukan di tempat sama antara jam 5 hingga 5.15 petang, 10 November 2010.
Kedua-pertuduhan terhadap Ismail dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Meor Sulaiman, kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bersama seorang penjamin kepada Zaidi manakala bagi Ismail, sebanyakRM6,000 juga bersama seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syarul Khuzaimi Amiruddin, mahkamah menetapkan 20 November sebagai tarikh sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 2:55 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3282#sthash.9z0DMCCx.dpuf

Mekanik dipenjara 15 tahun


Oleh Muhamaad Razis Ismail

razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang mekanik dipenjara 15 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi, terhadap tuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas, hujung tahun lalu.
Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Syarul Syariman Mustapa, 30, mengaku bersalah terhadap tuduhan.
Tertuduh turut dipenjara empat tahun selepas mengaku terhadap tuduhan merahsiakan kematian mangsa sama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari tarikh ditangkap pada 26 Disember 2013.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa mencederakan Tuan Paridah Tuan Losen, 61, sehingga menyebabkan kematian mangsa di tepi kawasan semak di Jalan Kampung Paloh Rawa, Machang pada jam 12.34 tengah hari, 22 Disember 2013.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa menyembunyikan keterangan mengenai kematian mangsa.
Sementara itu rakan tertuduh Mohd Asrul Zulkifli, 25, dipenjara enam tahun selepas mengaku memiliki sepucuk pistol jenis Walther Cp99 tanpa lesen di lokasi tarikh dan waktu yang sama.
Harian Metro pada 27 Disember 2013 lalu melaporkan misteri kehilangan seorang peraih emas selama empat hari terjawab apabila mayatnya ditemui oleh orang awam yang sedang memetik pucuk 'beko'.
Mangsa yang dipercayai dibunuh ditemui tersangkut pada pokok dalam keadaan mengiring dengan memakai jubah hitam sebelum dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:19 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3289#sthash.MhnmVRmG.dpuf

Pembantu pejabat didakwa tipu RM37,996


Oleh Muhammad Apendy Issahak

apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang Pembantu Pertanian Pejabat RISDA daerah Larut Matang, Selama dan Kerian didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, dengan 13 pertuduhan menipu membabitkan wang bernilai RM37,996 pada September 2010 hingga Mei 2011.
Tertuduh Azhar Abdul Hamid, 46, didakwa dengan niat memperdaya majikannya berhubung dokumen Laporan Pemeriksaan Pendahuluan / Bantuan Pertama / Berturut TS 18A (Komp) bagi lapan lot tanah di Mukim Sungai Tinggi kepunyaan pemohon Abdul Aziz Khan Abdul Kayum Khan bagi menerima bantuan tanam semula yang mana sebenarnya tanah berkenaan tidak layak menerima bantuan terbabit dan bayaran ansuran.
Azhar didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang RM10,000.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar dihadapan Hakim Madihah Harullah dan tertuduh yang diwakili penguam Raja Segaran mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan serta minta dibicarakan.
Hafiizh memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, bagaimanapun peguambela merayu untuk mengurangkan wang jaminan kerana penjamin adalah isteri tertuduh yang juga adalah seorang suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.
Pihak pendakwaan turut meminta mahkamah supaya kesemua 13 pertuduhan itu dibicarakan serentak.
Hakim Madihah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 26 November sebagai tarikh sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 2:20 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3276#sthash.IebdETlp.dpuf

Pengawal terlepas tembakan di stesen minyak

POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian semalam.
Oleh Arifin Salleh
Melaka : Seorang pengawal keselamatan berusia awal 30-an ditahan polis selepas terlepas tembakan yang nyaris terkena seorang pelanggan berusia 20-an di sebuah pam minyak di Ayer Molek di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tiga pengawal keselamatan berusia lingkungan 30-an baru selesai memasukkan duit ke dalam sebuah mesin pengeluaran wang tunai sebelum seorang pengawal tertekan picu pump gun.
Seorang pekerja stesen minyak berusia 35 tahun berkata, ketika kejadian dia berada di dalam stesen minyak sebelum terdengar bunyi letupan yang disangkakan tayar kereta meletup lalu bergegas keluar untuk melihat kejadian.
"Saya tersentak bila terdengar bunyi letupan dari arah luar lalu terus berlari keluar.
“Saya lihat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dalam keadaan terkejut mendakwa sebutir peluru nyaris mengenai badannya.
"Difahamkan, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan yang baru selesai memasukkan wang ke dalam mesin menuju ke arah van dinaiki yang diletakkan berdekatan pam minyak untuk motosikal sahaja," katanya di sini, pagi tadi.
Katanya lagi, beberapa minit kemudian pengawal berkenaan yang masih memegang pump gun dan berdiri di luar van tidak sengaja tertekan picu senjata api terbabit yang disangkakan sudah dikunci.
"Peluru kemudiannya terkena pada papan tanda angin dan air terletak bersebelahan pam minyak motosikal manakala pengawal berkenaan yang bimbang diapa-apakan dikawal orang awam hingga polis tiba," katanya.
Orang awam segera menghubungi pihak polis yang tiba tidak lama kemudian dan kawasan stesen minyak terpaksa ditutup seketika.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Shaikh Adzis Shaikh Abdullah, mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata seorang pengawal keselamatan ditahan ekoran kejadian terlepas tembakan.
"Pengawal keselamatan berkenaan ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan terlepas tembakan akibat kecuaian," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:25 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3306#sthash.jUGzkXzF.dpuf

Lemas tergelincir ke dalam sungai

ANGGOTA bomba mengangkat mangsa lemas. FOTO ihsan BOMBA
Oleh Isma Ismail
Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditemui lemas dipercayai selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Baru Cina, Ulu Tiram, hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Lee Keng Thoon ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 3 pagi tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku jam 11 malam tadi ketika mangsa sedang menjala ikan bersama rakannya.
Mangsa dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai ketika cuba menarik jala.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam tadi sebelum pasukan mencari dan menyelamat bergegas ke lokasi untuk mengesan mangsa.
"Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya tiba di lokasi kejadian pada jam 11.53 malam dan bertindak menjalankan operasi untuk mencari mangsa.
"Selepas lebih tiga jam usaha mencari dijalankan, mayat mangsa ditemui pada jam 3 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:00 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3285#sthash.UkwBEQdy.dpuf

Anggota polis, pengurus syarikat didakwa rasuah

Oleh Rabi 'Atul ' Adawiyah Ismail 
rabiatul@hmetro.com.my


Petra Jaya: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuching di sini, atas tuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,500 daripada seorang lelaki pada 8 Julai 2013.
Tertuduh, Sarjan Zainudin Samad, 52, bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan mengaku tidak bersalah meminta dan menerima wang sebanyak RM1,500 daripada Rano Paimin, 35, di sebuah restoran di Kota Samarahan.
Hakim Nixon Kennedy Kumbong membenarkan mangsa diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 17, 20 dan 21 November depan.
Di mahkamah sama, seorang pengurus syarikat balak Ling Sin Ching, 50 mengaku tidak bersalah memberi RM2,000 kepada Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff pada 4 September lalu bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti pembalakan tanpa kebenaran.
Nixon membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 dan 26 November ini.
Kedua-dua pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Ikhwan Mohd Ibrahim.
Tamat13
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 10:47 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3371#sthash.mKWr4M04.dpuf

Maut langgar lori sawit

KEADAAN kenderaan mangsa yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
Taiping: Seorang pemandu lori ayam maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Kilometer 203.6 Lebuhraya PLUS arah selatan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa Salim Sariboo, 43, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan bomba.
Jurucakap bomba berkata, mangsa yang memandu lori ayam berkenaan dipercayai melanggar belakang lori sawit yang sedang bergerak mengakibatkan lorinya remuk di bahagian depan manakala mangsa tersepit.
Katanya, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan memotong besi sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mayat mangsa di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat manakala pemandu serta penumpang kereta Proton Iswara turut di bawa ke Hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.
Menurutnya, perlanggaran itu turut mengakibatkan satu lagi kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Iswara dan Nissan Teana yang cuba mengelak dari melanggar tandan sawit di atas jalan mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta Proton Iswara cedera.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 11:58 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3268#sthash.nLsC3377.dpuf

Rumah hangus sambut kepulangan

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail 
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Seorang lelaki terkejut kepulangannya daripada bercuti di Pulau Pinang disambut dengan berita rumah dan dua kereta miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Arang, di sini kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Setibanya di rumah, mangsa Chai Kian Min, 58 terkejut apabila mendapati kawasan rumahnya dipenuhi anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Menurut Chai, ketika kejadian dua anaknya pergi mengambilnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan saudara yang tinggal bersebelahan turut tidak menyedari kejadian itu.
Katanya, saudara yang tinggal bersebelahan hanya tersedar apabila terhidu bau asap dan apabila membuat pemeriksaan, api sudah memusnahkan separuh rumah.
"Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak sangka kepulangan saya daripada bercuti disambut dengan berita ini," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Tiong Ling Hii berkata, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.07 pagi.
Katanya, seramai 41 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Kuching bergegas ke lokasi kejadian.
"Tiga rumah terbabit dalam kebakaran ini, sebuah rumah musnah 100 peratus, dua lagi 30 peratus terbakar.
"Rumah pertama yang terbakar dipercayai dijadikan bengkel membaik pulih kusyen berdasarkan penemuan span, kertas dan beberapa bahan mudah terbakar.
"Api dipercayai bermula di belakang rumah dan merebak ke dua rumah di kiri dan kanan. Ketika kejadian, tiada mangsa di rumah.
"Punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan. Api berjaya dikawal pada jam 9.05 pagi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 12:24 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3271#sthash.oAJUEYpt.dpuf

Dua lelaki dipenjara perdagang manusia


Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang peniaga ikan berusia 26 tahun dipenjara dua tahun manakala rakannya berusia 19 tahun dipenjara 20 bulan di Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengangkut dua migran yang diseludup masuk ke dalam negara ini, Januari lalu.
Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh Ezani Abdul Rahman, 26, dan rakannya Mohamad Zulfiqka Amin Che Razi, 19, di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengangkut dua migran warga Myanmmar dengan motosikal yang diseludup masuk ke dalam negara ini di hadapan pondok menunggu bas Ketereh, di sini, pada jam 11.30 pagi, 7 Januari 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghzali.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:15 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3302#sthash.m8z5udti.dpuf

Wanita didakwa menipu, menyamar kakitangan Media Prima


OlehZainuz Fitri

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 16 pertuduhan menipu dengan menyamar kakitangan Media Prima.
Tertuduh, Hamizah Mohd Nazri, 27, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Alias.
Mengikut kertas pertuduhan, Hamizah didakwa menyamar sebagai kakitangan Media Prima Berhad memperdaya mangsa kononnya sebagai ejen pelakon tambahan sebelum melarikan wang dan telefon bimbit mangsa.
Hamizah didakwa menipu mangsa kononnya mencari pelakon tambahan bagi filem, drama tempatan serta klip video selebriti tempatan termasuk Zizan dan Emma Maembong.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap 16 mangsa antara 12 Mac hingga 29 Mac lalu.
Kebanyakan mangsa adalah remaja perempuan bawah umur.
Wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan di beberapa Kompleks beli-belah Holiday Plaza, Plaza Angsana dan JUSCO Desa Tebrau.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,500 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Noor Farhana Adham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Azlan Shah menetapkan 4 November ini sebagai tarikh serahan dokumen.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:58 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3320#sthash.MAfWtSSK.dpuf

Penyamun kejut tidur nenek, cucu


Oleh Helmy Abd Rahman dan Zarina Abdullah

am@hmetro.com.my

Marang: Seorang wanita berusia 55 tahun yang sedang tidur bersama cucunya berusia 35 hari dan anak perempuannya yang sedang berpantang, mengalami 'mimpi ngeri' apabila disamun empat penjenayah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bukit Jejulong, Pengkalan Berangan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, empat suspek memakai topeng muka dengan seorang daripadanya bersenjatakan parang, menyerbu bilik tidur wanita terbabit sebelum melarikan barangan berharga bernilai lebih RM10,000.
Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa terkejut daripada tidur apabila terdengar bunyi gril sebelah tepi rumah diketuk tetapi takut untuk memeriksa.
"Tidak lama selepas itu, pintu bilik tidur mereka dipecahkan empat lelaki terbabit menggunakan tong gas memasak yang diambil dari dapur rumah berkenaan.
"Seorang daripada suspek bersenjatakan parang panjang terus mendekati wanita itu dan mengikat kedua belah tangannya dengan kain selimut.
"Pada masa sama, mangsa mendengar suspek meminta wang daripada anak perempuannnya sebelum menggeledah bilik dan bahagian lain di rumah berkenaan untuk mencari barangan berharga," katanya.
Sumber berkata, empat suspek itu kemudian menghilangkan diri beberapa minit kemudian dan apabila pasti keadaan selamat, anak perempuan mangsa membuka kain selimut yang diikat pada tangan serta mulutnya.
"Selepas membuat pemeriksaan, mangsa mendapati wang tunai berjumlah RM2,500; dua komputer riba; satu telefon bimbit; satu telefon pintar; seutas rantai emas bernilai RM2,000; barangan perhiasan; dokumen peribadi; kunci rumah dan kunci kereta hilang. Semua barangan itu bernilai lebih RM10,000," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Risikan Satiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, pagi semalam.
"Mangsa membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan kerana samun bersenjata dan berkawan.
"Polis kini giat memburu suspek dan percaya akan dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 7:46 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3344#sthash.9SepK8jq.dpuf

Dua pekerja kilang melecur cuba padam kebakaran



am@hmetro.com.my


Georgetown: Dua pekerja sebuah kilang memproses dan melebur emas cedera ketika cuba memadamkan kebakaran di premis itu dalam kejadian di Lembah Kampung Jawa, Bayan Baru, 3 petang tadi.

Kebakaran membabitkan sebuah bilik yang digunakan untuk memproses dan melebur emas.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd Jefri Jamal berkata, ketika kejadian kira-kira 50 pekerja berada dalam kilang terbabit.

Beliau berkata, sepasukan 30 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba Jalan Perak dan Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.09 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati hanya dua pekerja mengalami kecederaan ringan ketika cuba memadamkan api yang mana seorang daripada mereka melecur di tangan manakala seorang lagi sesak nafas akibat terhidu asap.

"Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota bomba dan keadaan mereka dilaporkan tidak serius," katanya.

Hasil tindakan pantas bomba, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 7:15 PM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3336#sthash.qJ6uVMYj.dpuf

Maut langgar treler di lorong kecemasan


Bentong: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan, di Kilometer 17, JalanBentong-Raub, berhampiran Lurah Bilut, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu menyebabkan mangsa hanya dikenali sebagai Mohamad berusia lingkungan 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha SS dalam perjalanan dari Lurah Bilut, di sini, ke Raub.

Katanya, namun ketika tiba di tempat kejadian, mangsa tidak menyedari treler yang dipandu seorang lelaki, Sudin Mamat, 54, berhenti di laluan kecemasan di sebelah kiri jalan.

"Akibatnya, mangsa melanggar treler berkenaan hingga menyebabkannya terperosok di bawah kenderaan itu.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghulurkan bantuan menghubungi ambulans namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba kira-kira 15 minit kemudian," katanya ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:39 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3313#sthash.n6IpSaq9.dpuf

Suami isteri mengaku milik barang larangan


Oleh Shamsul Munir Safini
Kangar: Empat individu termasuk sepasang suami isteri mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan berasingan memiliki barangan larangan import (rokok putih dan kretek) bernilai RM563 di Mahkamah Majistret Kangar, di sini, tadi.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama Ooi Cheng San, 50, serta tiga individu lain mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 .
Tertuduh didakwa memiliki sejumlah rokok putih dan kretek yang belum diluluskan Kastam bernilai RM445.36 di premis kedai runcit miliknya di Kuala Perlis di sini pada 28 November tahun lalu.
Majistret Norhayati Ibrahim kemudian menetapkan denda RM6,000 atau 12 bulan penjara terhadap tertuduh.
Tertuduh kedua Ahmad Said, 65, mengaku bersalah memiliki rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang belum diluluskan Kastam bernilai RM16.12.
Ahmad didakwa memiliki barangan larangam berkenaan ketika diperiksa penguatkuasa Kastam di kedai runcitnya di Jejawi 25 Jun lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM200 atau sebulan penjara selepas mendengar pengakuan tertuduh.
Manakala tertuduh ketiga Lim Ah Kian,40 dan isteri Carin Kiang,36, mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki rokok putih dan kretek belum lulus Kastam bernilai RM102.97 di premisnya di Jalan Panggas,Chuping, Padang Besar di sini 7 Mac lalu.
Pasangan tertuduh melalui peguamnya daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norherdawati Harun merayu hukuman dnda tertuduh dikurangkan.
Norhayati kemudian menetapkan denda RM1,400 terhadap setiap seorang atau enam bulan penjara.
Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pedakwaraya Kastam Diraja Malaysia Abdul Malik Awang Kechik @ Ramli.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 tertuduh boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atu kedua-duanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:31 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3312#sthash.di6MYfA3.dpuf

Klang pula dinaiki air

KEADAAN di pekan Meru ketika mula dinaiki air tengah hari tadi. 
KESESAKAN lalu lintas disebabkan banjir kilat di Jalan Meru Mukim Kapar Klang. FOTO Muhammad Sulaiman 
Oleh Mohd Hasbi Sidek

am@hmetro.com.my

Klang: Orang ramai di sekitar Klang kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran laporan peningkatan paras air di beberapa kawasan di daerah itu.
Hujan lebat sejak tengah hari tadi menyebabkan ada kawasan dinaiki air sehingga dua meter terutama di kawasan rendah.
Selain Meru, beberapa penempatan terutama di Kampung Delek, dilaporkan terjejas apabila air mula masuk ke rumah penduduk.
Justeru, orang ramai terutama yang berada di kawasan rendah dinasihatkan supaya berjaga-jaga.
Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa jalan tidak boleh dilalui kenderaan ringan kerana air melebihi paras dua meter.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 8:15 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3348#foto

Kepala terpisah 40 meter

ANGGOTA polis memeriksa kepala mangsa yang terputus dalam kemalangan. 
Oleh Omar Osman

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang penuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Jalan Lencongan Timur berhampiran Bandar Perdana, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam itu turut menyebabkan kepala mangsa Mohd Nasri Rusydi Yusof, 19, terputus.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke Bandar Puteri Jaya dipercayai untuk bertemu dengan rakannya.
Namun, sebaik tiba di tempat kejadian motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangi terbabas menyebabkan mangsa terpelanting mengakibatkan lehernya terkena simen penghadang jalan.
Jurucakap polis berkata, akibat itu kepala dan badannya terpisah sejauh 40 meter menyebabkan mangsa yang cedera parah mati di tempat kejadian.
Katanya, polis masih melakukan siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 12:56 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3375#sthash.lelmVOM5.dpuf

24 pendatang asing tanpa izin dicekup

OPERASI bersepadu 6P diketuai Jabatan Imigresen Melaka bermula jam 10 malam dan berakhir 5 pagi. 
Oleh Mohd Hilmie Hussin
Melaka: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi bersepadu 6P diketuai Jabatan Imigresen Melaka bermula jam 10 malam dan berakhir 5 pagi tadi.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri Mohd Sabri Ismail berkata, antara yang ditahan adalah warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
Antara lokasi serbuan adalah Pandan, Malim, Cheng Baru, Taman Desa Baru, Cheng, Jalan Sidang Bukit Rambai dan Taman Rambai Jaya.
Selain Imigresen antara agensi lain yang terbabit dalam operasi itu adalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan ketika mengesahkan perkara itu berkata, semua yang ditahan dihantar ke depoh tahanan di Machap Umboo, Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 2:51 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3391#sthash.QNDTFR3X.dpuf

Berjalan 500 meter selepas ditikam


Oleh Mohamad Fahd Rahmat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 48 tahun sempat berjalan ke sebuah klinik sejauh kira-kira 500 meter dari lokasi dia ditikam dua lelaki warga Vietnam sebelum rebah dan mati di klinik terbabit dalam kejadian kira-kira 1.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mangsa ditikam tiga kali dengan senjata tajam hingga menembusi jantungnya selepas terbabit dalam pertengkaran dengan suspek di luar rumah sewa mereka di Flat Taman Gembira Majidee di sini.
Sulaiman berkata, mangsa sebelum itu pergi seorang diri ke rumah suspek selepas keduanya hanya bekerja separuh hari di sebuah kilang di Jalan Tampoi, di sini, tanpa memberitahunya.
"Pada hari kejadian, suspek hanya bekerja separuh hari dan tanpa memberitahu si mati dan si mati kemudian datang ke rumah suspek bertanyakan suspek sebab tidak datang bekerja pada petang semalam.
"Dalam kejadian ini polis percaya pergaduhan berpunca daripada soal kerja dan gaji yang tidak dibayar oleh si mati," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 3:40 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3395#sthash.urdF1Hcl.dpuf

Kereta rentung dilontar molotov koktel

ROSLAN melihat keadaan kereta miliknya yang dipercayai dibakar dengan 'molotov cocktail'. FOTO Bernama -
Oleh Zuliaty Zulkifli

am@hmetro.com

Jitra: Kereta milik seorang pegawai kanan kastam Kedah rentung dipercayai dibaling cecair molotov koktel di hadapan rumah mangsa di Taman Bukit Indah, Jitra, jam 5.20 pagi tadi.
Roslan Othman, 56, yang bertugas di Bahagian Import Eksport Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Kayu Hitam mengesyaki kejadian itu mungkin disebabkan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tugasnya mengawal di kawasan itu sejak 2010.
Dalam kejadian jam 5.20 pagi, kereta Perodua Kelisa miliknya rentung dipercayai dibaling dengan botol mengandungi molotov koktel sehingga menyebabkan kenderaan yang diletakkan di pekarangan rumahnya rentung.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai melakukan perbuatan itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.
"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak kami sudah mengambil keterangan daripada pengadu untuk membantu siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 6:10 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3404#sthash.NpHOaXws.dpuf

Lelaki cedera bertembung

Oleh Muhamaad Razis Ismail 
am@hmetro.com.my


FOTO ihsan Bomba
Gua Musang: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan dalam kejadian di Bukit Sejuk Jalan Gua Musang-Kuala Krai, tadi.
Dalam kejadian jam 1 petang itu mangsa berusia 27 tahun hanya mengalami cedera ringan di tangan dan badan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Menurut sumber, ketika kejadian mangsa memandu kereta Perodua Myvi dari Kuala Krai menuju ke Gua Musang.
Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa terbabas dan bergesel dengan dua buah kenderaan yang datang dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Kia Forte.
"Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 6:37 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3407#sthash.gN8LGSc8.dpuf

Keluarga hilang tempat tinggal

Oleh Mohd Hasbi Sidek
Shah Alam: Sebuah keluarga terpaksa menyambut Deepavali dalam keadaan sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka hangus dijilat api di Pangsapuri PKNS Seksyen 20, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan semua barang di dalam rumah berkenaan hangus dijilat api.
Difahamkan kebakaran bermula dari bilik di rumah itu yang terletak di tingkat tiga sebelum merebak ke bahagian lain.
Pihak bomba menerima panggilan jam 5.37 petang dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum berjaya mengawal api dari terus merebak jam 5.50 petang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kebakaran masih lagi disiasat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 7:59 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3409#sthash.3iNQbcW1.dpuf

Dua maut, tujuh parah

Teks dan foto oleh Faiza Fariez
Sandakan: Dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia lapan tahun maut manakala tujuh parah termasuk ibu kanak-kanak terbabit apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan kereta pacuan empat roda di Batu 26 Jalan Labuk, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identiti mereka meninggal dunia ketika dalam rawatan di Wad Kecamasan Hospital Duchess Of Kent, di sini.
Tujuh lagi yang parah juga belum dikenal pasti identiti mereka dan menerima rawatan di hospital yang sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dinaiki semua mangsa termasuk dua kanak-kanak terbabit dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Batu 32, dekat sini.
"Pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dari arah Kinabatangan ke Sandakan dikatakan tidak sempat memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan Proton Wira yang dinaiki sembilan individu.
"Sembilan mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent untuk rawatan namun dua daripada mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pemandu pacuan empat roda yang tidak mengalami kecederaan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 1:51 PM