WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Oktober 2014
BERA - Dua beradik berjaya ditangkap polis kerana disyaki mencuri susu getah di Ladang Kemasul, dekat sini kira-kira jam 11.45 malam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengurus ladang terbabit, dan anggota Balai Polis Mengkarak bertindak atas maklumat itu.
Menurutnya, empat beg plastik mengandungi susu getah seberat 112 kilogram dan empat baldi pelbagai warna dan jenama yang dipercayai digunakan bagi aktiviti itu berjaya dirampas.
“Berdasarkan siasatan awal, salah seorang lelaki itu adalah pekerja ladang tersebut, manakala adiknya itu sekadar membantu abangnya yang bekerja di sana.
“Dipercayai, pengurus ladang terbabit mensyaki kejadian itu berikutan hasil susu getah yang sering berkurangan. Dan dia bersama kerani telah melakukan pemeriksaan sendiri di rumah pekerja terbabit,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya bertindak dan menangkap kedua-dua suspek di rumah pekerja beralamat No. 42, Ladang Kemasul, Mengkarak.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.