Seremban: “Saya sudah buntu hingga tak tahu bagaimana hendak cari dia dan sejak kehilangannya aktiviti harian kami serba tak kena,” kata Muhamad Zaidi Mohamed Yunus, 42.
Muhamad Zaidi yang juga peniaga ayam golek di Jalan Bukit Kuda, Klang, Selangor kini hidup dalam kebimbangan apabila anak bongsunya, Putri Najiha, 16, menghilangkan diri sejak keluar bersama bakal tunang, Ahmad Fauzi Jaamat, 22, di i-City, Shah Alam, Selangor pada 28 Ogos lalu.
Menurut Muhamad Zaidi, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersiar-siar bersama Ahmad Fauzi kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian dan dipercayai mengikut seorang lelaki lain.
Katanya, ketika keluar bersama Ahmad Fauzi, anaknya dikatakan memberi alasan kepada bakal tunangnya untuk ke tandas, tetapi tidak kembali dan dipercayai dilarikan seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta.
“Pengawal keselamatan di i-City memberitahu Ahmad Fauzi, dia ternampak anak saya mengikut seorang lelaki berusia 50-an.
“Selepas disiasat, lelaki terbabit disyaki bapa kepada bekas pekerja saya dikenali sebagai Ajoi, 31, dan dia dipecat Julai lalu kerana cuba melakukan perbuatan tidak baik kepada Putri Najiha.
“Saya mengesyaki Ajoi bersubahat dengan bapanya untuk melarikan anak saya kerana selepas dipecat, Ajoi kerap berhubung dengan anak saya melalui telefon bimbit,” katanya, semalam.
Menurut Muhamad Zaidi, dia cuba mengesan anaknya itu melalui telefon bimbit, namun gagal kerana talian ditutup, malah turut pergi ke rumah bapa Ajoi di Batang Melaka, Melaka tetapi tidak menemui mereka.
Katanya, sebelum itu, Putri Najiha yang tidak lagi bersekolah tidak menunjukkan perubahan sikap atau tiada perkara menguris hatinya.
“Hubungan Putri Najiha dengan ahli keluarga lain juga baik,” katanya yang ditemui bersama isterinya, Jamaliah Abdullah, 42.
Menurutnya, dia sudah membuat tiga laporan polis iaitu pada 29 Ogos di Balai Polis Klang Utara diikuti Balai Polis Daerah Shah Alam pada 2 dan 7 September lalu “Kami sekeluarga bimbang keselamatannya, apatah lagi dia seorang remaja muda yang belum matang dalam membuat keputusan.
 |
PUTRI Najiha. |
“Saya harap orang ramai dapat membantu mengesan Putri Najiha.
Jika mempunyai maklumat boleh menghubungi saya di talian 010-2443425,” katanya.

MUHAMAD Zaidi bersama isterinya menunjukkan laporan polis.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29