
Dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima rasuah berbentuk bayaran bulanan antara RM500 dan RM50.000 di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. Seramai lima pegawai JKDM mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah sesyen berlainan. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Selepas dua hari, seramai lima lagi pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 24 tuduhan menerima rasuah antara RM500 dan RM50,000 secara bulanan sejak awal tahun ini.
Empat daripadanya merupakan tertuduh-tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Jumaat lalu atas dakwaan serupa.
Hari ini, mereka dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini dengan nilai wang suapan yang didakwa diterima berjumlah RM76,000.
Di hadapan Hakim Alaudeen Ismail, Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Cawangan Siasatan Khas (Bahagian Penguatkuasaan), Ibu Pejabat JKDM Dengkil, Mohd. Arifin Zakaria, 57, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,000 di antara Januari dan Ogos lalu di Malayan Banking Bhd. (Maybank) Cheras dan Stesen Petronas hadapan Cheras Sentral Plaza, dekat sini.
Turut membuat pengakuan serupa di mahkamah tersebut ialah Pegawai Kastam Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Hizam Abd. Ghani, 56, yang didakwa atas satu pertuduhan menerima suapan RM50,000 pada Mei lalu di Taman Segar, Cheras di sini.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 ke atas Mohd. Arifin bagi kesemua pertuduhan manakala Hizam dikenakan ikat jamin RM5,000.
Di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin pula, Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri Selangor, Sohaizan Othman, 41, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 di antara Mac dan Julai lalu di Stesen Minyak BHP, Taman Connaught, Cheras di sini.
Dia dibebaskan dengan ikat jaminan RM20,000 berserta seorang penjamin.
Sementara itu, di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin, Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL, Azlee Mohamed Yusof, 48, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM4,000 di antara Januari dan Ogos lalu di Taman Connaught, Cheras di sini.
Di mahkamah sama, Pegawai Kastam Tinggi (Bahagian Penguatkuasaan) Kastam Selangor, Ishak Abu, 55, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima RM1,000 tanpa sebarang balasan kira-kira pukul 8.38 malam, 26 Julai lalu di Maybank cawangan Jalan Raja Laut di sini.
Rasuah tersebut adalah sebagai dorongan agar tiada tindakan undang-undang diambil ke atas barang-barang yang belum diluluskan oleh JKDM iaitu arak atau mempunyai kaitan dengan urusan rasmi masing-masing.
Azlee dikenakan jaminan RM10,000 manakala Ishak diikat jamin RM5,000, masing-masing dengan seorang penjamin. Ishak juga perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Kesemua pertuduhan membabitkan Mohd. Arifin, Hizam, Sohaizan dan Azlee dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17 akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.
Pertuduhan bagi Ishak pula dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais, Ahmad Saifuddin Hashim Musaimi dan Husmarudin Hussin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Abdul Rahim Ali, Gabriel Susayan dan Feisal Mustapha.
Kesemua kes itu ditetapkan sebutan semula pada 20 Oktober ini untuk permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama dan penyerahan dokumen.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140923/ma_01/Lima-pegawai-kastam-didakwa-terima-RM76000#ixzz3E8PqBMrT
© Utusan Melayu (M) Bhd