Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan SITI ROHAIZAH ZAINAL
pengarang@utusan.com.my

ACP Paul Khiu Khon Chiang, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Johor (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan hasil rampasan yang berjaya di rampas dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Johor Bahru, baru-baru ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tindakan segelintir pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dikatakan sengaja melengah-lengahkan proses pembayaran ganjaran kepada pemberi maklumat dipercayai menjadi antara punca sindiket penyeludupan rokok dan arak semakin berleluasa.
Satu sumber mendedahkan, pegawai tersebut bertindak demikian kerana telah menerima imbuhan daripada sindiket penyeludupan barangan itu dan sekali gus melindungi kegiatan haram tersebut.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pemberi maklumat berasa tidak puas hati dan mengambil keputusan berhenti menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa kerana ia melibatkan soal keselamatan serta perbelanjaan mereka.
"Selepas memperoleh maklumat, pihak berkuasa yang bertindak me- lakukan serbuan akan menyerahkan laporan ganjaran diperoleh pemberi maklumat kepada pegawai atasan.
"Bagaimanapun, terdapat pegawai atasan JKDM yang tidak bertanggungjawab sengaja melengah-lengahkan proses pembayaran ganjaran sehingga ada yang tertangguh sehingga empat atau lima tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan sindiket penyeludupan rokok dan arak menyediakan habuan sehingga RM40,000 bagi merasuah segelintir pegawai dan anggota JKDM di Tambak Johor dan Bukit Kayu Hitam.
Pada 7 September lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan mengenai kegiatan penyeludupan rokok dan arak yang berleluasa di kedua-dua kawasan tersebut sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit dalam satu malam.
Laporan eksklusif itu juga mendedahkan bagaimana terdapat segelintir pegawai dan anggota jabatan berkenaan didakwa terlibat dengan sindiket.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, selain melengah-lengahkan pembayaran, jumlah ganjaran yang sepatutnya dinikmati oleh pemberi maklumat juga dikurangkan sehingga 50 peratus bertujuan mengecewakan mereka.
"Tindakan mereka ini akan memberi kesan kepada pemberi maklumat yang berhenti daripada mendedahkan sebarang informasi berhubung penyeludupan kepada pihak berkuasa,'' ujarnya.
Sumber itu memberitahu, ganjaran diterima pemberi maklumat tertakluk kepada nilai rampasan dan akan disyorkan oleh pegawai penyiasat JKDM mengikut peruntukan yang termaktub dalam akta jabatan itu.
Katanya, jumlah ganjaran melebihi RM100,000 akan dinilai oleh pegawai kanan di ibu pejabat manakala jumlah yang kurang daripada amaun terbabit diluluskan oleh pegawai kanan di peringkat negeri.
"Sebagai contoh, jika nilai rampasan rokok dan arak bernilai RM1 juta jumlah ganjaran yang diterima pemberi maklumat berjumlah RM100,000, tetapi yang menjadi masalah adalah setelah laporan terbabit tiba di ibu pejabat, jumlah ganjaran tersebut akan dipotong sehingga separuh. proses pembayaran juga sengaja dilewat-lewatkan bertujuan mahu mengecewakan pemberi maklumat,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140915/je_01/Pegawai-lengahkan-bayaran-ganjaran#ixzz3DOJJoTCl
© Utusan Melayu (M) Bhd