Pasir Puteh: “Dalam tempoh hampir tiga bulan mereka sewa, saya tak pernah bersua muka dengan mereka.
“Cuma sebelum ini, saya memang maklum mengenai mereka yang sering berkopiah, bercakap lemah-lembut dan memiliki riak muka yang jujur,” kata Nabar Lazim, 62.
Nabar ialah pemilik rumah yang disewa dua penjenayah paling dikehendaki polis.
Menurutnya, dia memang tidak menyangka individu yang menyewa rumahnya itu penjenayah paling dikehendaki dikenali sebagai pembunuh upahan kerana perwatakan ditunjukkan kedua-dua mereka memang cukup berbeza daripada perangai sebenar.
Nabar berkata, dia dan isteri Rakiah Awang Noh, 59, hanya mengetahui mengenai identiti sebenar penyewa berkenaan selepas terkejut dengan kedatangan sepasukan polis yang mengepung rumah berkenaan yang terletak bersebelahan rumahnya.
“Sebelum menyewakan rumah itu, saya diberitahu seorang jiran sekampung ada sepasang suami isteri mencari rumah sewa dan berminat menyewa rumah saya RM200 sebulan.
“Urusan sewa pertama pun diuruskan jiran sebelum kedua-dua penyewa itu masuk ke rumah.
“Saya pula membuka sebuah kedai mencuci kenderaan di bandar Pasir Puteh menyebabkan kami jarang pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati jarak rumah sewa itu dengan jalan utama Machang-Pasir Puteh hanya kira-kira 20 meter selain dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan.
Menceritakan kejadian tembak-menembak itu, Nabar berkata, sebelum ini, dia dan isteri sering bermalam di kedai mereka di bandar Pasir Puteh, namun pada hari kejadian, mereka sepakat pulang ke rumah kerana kepenatan.
Katanya, ketika mahu melelapkan mata, dia terdengar bunyi ketukan pintu berulang kali diikuti bunyi bising menyebabkannya nekad meninjau keadaan sekeliling walaupun takut.
“Sebaik pintu dibuka, saya terkejut melihat sepasukan polis memenuhi pekarangan rumah sewa sebelum mereka meminta saya masuk ke dalam rumah kerana faktor keselamatan,” katanya.
Menurutnya, bunyi bising itu berlarutan sebelum bunyi seperti letupan mercun kedengaran tidak lama kemudian.
“Saya dan Rakiah bersama tiga anak dan dua cucu hanya mendiamkan diri dan berkumpul di ruang tamu sambil beristighfar semoga kami sekeluarga tidak ditimpa sebarang musibah.
“Tembak-menembak itu berlangsung kira-kira setengah jam sebelum suasana kembali tenang dan sunyi. Hanya selepas menunaikan solat Subuh, baru saya berani keluar rumah dan meninjau keadaan sebelum dimaklumkan kedua-dua penyewa sebenarnya penjenayah yang dikehendaki polis,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09