Dungun: “Arwah sempat bersalam dengan saya sebelum pergi ke tempat kerja,” kata Mohd Zaki Harun, 49, bapa kepada Mohammad Fahmy Ifdzal, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 64.7, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kuala Abang, di sini, semalam.
Mangsa yang menunggang motosikal Naza GSR250 maut apabila gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh tiang elektrik lalu tercampak ke tengah pembahagi jalan pada jam 8.45 pagi.
Mangsa yang berasal dari Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu mengalami kecederaan parah di kepala, dada serta muka meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohd Zaki berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu petang kelmarin ketika mangsa yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkuasa tinggi memaklumkan hendak ke Dungun.
“Anak memaklumkan perlu bertugas di Dungun memandangkan syarikat tempatnya bekerja mengadakan jelajah promosi menjual motosikal di sana.
“Arwah sempat bersalam dengan saya sebelum turun dari rumah dan saya tidak menyangka dia akan pulang ke rumah pagi ini (semalam) sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan balik,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, semalam.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada rakan arwah anaknya itu yang memaklumkan mangsa kemalangan dan meminta dia segera ke Hospital Dungun.
“Saya pada mulanya menyangkakan kemalangan itu kecil saja dan sebaik tiba di Bilik Kecemasan hospital, saya dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa polis ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.
“Dalam tempoh tiga hari berturut-turut, enam mangsa maut membabitkan tiga kemalangan yang berlaku di Dungun.
“Daripada Januari tahun ini hingga hari ini (semalam), seramai 39 orang maut dan polis meminta kerjasama kepada semua pemandu supaya tidak memandu laju serta berwaspada setiap masa sebagai mengelak kemalangan maut terus berlaku,” katanya.

ANGGOTA polis mengangkat mayat Fahmy yang maut dalam kemalangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02