KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 3:55 PM
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bh.com.my
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM55,000 terhadap bekas Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Perayu sebelum ini sudah disabitkan atas empat tuduhan meminta serta menerima rasuah berkaitan kes khalwat membabitkan seorang anggota polis, tujuh tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin, menolak permohonan rayuan dikemukakan Shahrunnazri Abdul Samad, 45, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya dengan kesalahan itu dua tahun lalu.
Beliau berkata, selepas meneliti semua fakta dan hujah pihak pendakwa dan pembela, Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika membuat keputusan mensabitkan perayu terhadap kes itu berdasarkan fakta dan undang-undang.
Katanya, keputusan hakim yang mensabitkan perayu dengan kesalahan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah adalah tepat manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan RM5,000 adalah satu bentuk rasuah.
"Oleh itu sabitan dan hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan," katanya.
Noorin pada mulanya turut memutuskan hukuman penjara bermula semalam, namun kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara itu selepas mendengar rayuan dikemukakan oleh peguam Shahrunnazri, Yusri Kamaruddin.
Hakim bagaimanapun menetapkan jaminan dinaikkan kepada RM25,000 bersama seorang penjamin, berbanding RM20,000 yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen pada 2012.
Beliau berkata, penangguhan itu berikutan Shahrunnazri mahu merayu kesnya ke Mahkamah Rayuan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Tan Hooi Leng yang mensabitkan Shahrunnazri atas kesalahan itu pada 13 Februari 2012, membenarkan hukuman penjara iaitu dua tahun bagi setiap kesalahan yang berjalan serentak, ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi, tetapi memerintahkan dia membayar denda RM55,000.
Empat tuduhan ke atas Shahrunnazri adalah meminta suapan RM5,000 sebagai dorongan tidak mendakwa anggota polis, Mohamad Asri Bakar, kira-kira jam 11 pagi di Restoran Capati Medan Gopeng, No 41 dan 43, Medan Gopeng 1, di sini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, Shahrunnazri didakwa menerima suapan daripada anggota polis itu berjumlah RM1,000 di Malayan Banking Berhad, No 194206, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, jam 3.25 petang, 1 Ogos 2007.
Bagi tuduhan ketiga dan keempat, Shahrunnazri didakwa menerima suapan daripada anggota polis sama, masing-masing berjumlah RM2,000 di dua lokasi dan tarikh berasingan iaitu di Malayan Banking Berhad, No 57 & 59, Selasar Rokam 2, Taman Ipoh Jaya, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi 13 Ogos 2007 dan di Malayan Banking Berhad, No 194206, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh jam 4.25 petang, 25 September 2007.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Shahrunnazri dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama bagi semua pertuduhan berkenaan.