Kereta Perodua Kenari yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Gambar kecil: Motosikal yang ditunggang mangsa mengakibatkan kedua-duanya cedera parah sebelum disahkan meninggal di HSNI.
BATU PAHAT – Dua rakan karib yang dalam perjalanan pulang selepas beraya bersama maut dalam kemalangan, apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi bertembung kereta jenis Perodua Kenari di hadapan Kampung Parit Bisu, petang kelmarin.
Ketika kejadian jam 6.55 petang itu, Nur Farah Artika Kamarulzaman, 18, dan rakannya, Hafizah Zakaria, 18, dalam perjalanan pulang selepas menziarahi guru mereka di Parit Simen, Semerah.
Ibu Nur Farah Artika, Tumisah Suri, 52, berkata, anaknya terlibat kemalangan beberapa minit selepas mereka berhubung melalui telefon.
"Arwah keluar selepas solat Zuhur dan saya ada menghubunginya pada jam 6.45 petang untuk bertanya keadaan mereka.
"Ketika itu arwah kata mereka dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.
Katanya, dia tidak menyangka itu kata-kata terakhir arwah kepadanya.
“Saya tidak menyangka pada pagi sebelum kemalangan, dia menemani saya membeli barangan dapur adalah kali terakhir kami bersama.
“Paling saya terkilan dia tidak sempat menjamah sushi yang dibelinya semasa menemani saya pagi tadi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Nibong, semalam.
Menurutnya, dia terkejut apabila diberitahu berkenaan kemalangan itu kerana anaknya sempat bergurau dengannya sebelum keluar rumah dengan menyatakan mahu menemaninya tidur.
“Selepas ini saya akan sentiasa mengingati arwah kerana dia seorang yang rajin terutama membantu buat kerja-kerja rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kemalangan yang berlaku di Kilometer 143, Jalan Johor Bahru-Melaka itu.
Katanya, kedua-dua mangsa cedera parah setelah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang bertembung sebuah kereta Perodua Kenari dari arah Muar, yang dipercayai memasuki lorong bertentangan.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun meninggal dunia kira-kira jam 11 malam,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah Nur Farah Artika dan Hafizah selamat dikebumikan di kampung masing-masing, iaitu di Kampung Sungai Nibong dan Sungai Balang, selepas solat Zohor, semalam.