Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

AWIE dihadapkan ke Mahkamah Ampang, Selangor semalam atas tuduhan mencederakan isterinya awal bulan lalu. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 4 Julai - Vokalis kumpulan rock Wings, Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya, awal bulan lalu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Rozana Misbun, 36, di rumah mereka di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun lalu.
Pendakwaan terhadap ikon rockers itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan bapa kepada lima anak itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Hazman Harun yang mewakili penyanyi itu pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya adalah seorang selebriti dan kemungkinan dia melarikan diri adalah sangat tipis.
Selain itu katanya, Awie juga memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis ketika siasatan.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos ini untuk serahan dokumen.
Sepanjang prosiding, Awie yang memakai blazer hitam serta berseluar jeans biru kelihatan tenang dan sesekali memandang para wartawan yang duduk di galeri awam.
Yang turut hadir ialah dua lagi anggota kumpulan Wings, Joe dan Eddy serta beberapa rakannya yang lain.
Awie yang ditemui pemberita di luar mahkamah ketika menjawab pertanyaan sama ada kes ini akan mencalar perjalanan kariernya sebagai seorang artis, memberitahu:
"Saya serah kepada Tuhan, jika rezeki saya cuma setakat ini, saya terima. Tapi saya percaya kes ini tidak akan mengganggu (karier). Saya minta maaf sangat-sangat, saya tak boleh nak komen panjang kerana takut mengganggu prosiding."
Awie yang terkenal dengan filem Sembilu, Merah dan Hantu Kak Limah Balik Rumah juga memberitahu, dia tidak menyangka perkara tersebut boleh berakhir seteruk ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai seorang rockers yang didakwa mengasari isteri sendiri dalam satu kejadian di Ampang, Selangor awal Jun lalu.
Berikutan laporan tersebut, ramai yang menuding jari mengatakan individu berkenaan adalah Awie namun artis itu meminta pihak yang menuduh mengemukakan bukti mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun ketika kontroversi mengenai perkara tersebut semakin reda, tiba-tiba tersebar pula tiga keping gambar dipercayai isteri Awie dalam keadaan lebam di mata dan hidung dalam aplikasi Whatsapp dan dimuat turun di laman sosial Facebook.
Penyanyi rock itu yang juga menjadi pelakon utama teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal dan Supermokh Sebuah Muzikal dilaporkan berkahwin dengan Rozana secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.
Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.
Pada 28 November 2005, Awie dan abang kepada bekas penyanyi Kumpulan Kristal, Ainol Eqraf, Fairul Ezly Ramli pernah dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan bergaduh sesama mereka di tempat awam setelah Mahkamah Majistret Ampang berpuas hati dengan pembelaan mempertahankan diri dalam kejadian itu.
Sementara adik Awie, Muhamad Nazri Othman, 40, yang dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu di lobi Kelab Oakleaf Bukit Antarabangsa, Ampang Jaya, pada pukul 1.45 pagi, 26 September 2002, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM1,000.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140705/ma_01/Awie-mengaku-tidak-bersalah#ixzz36XbZSCaj
© Utusan Melayu (M) Bhd