Pegawai Kebajikan Masyarakat, Manayi Ibrahim berkata, dalam kejadian 14 Jun lalu, warga emas berumur 75 tahun itu cedera di dahi dan mata akibat dipukul anak lelakinya selepas berlaku pertengkaran.
Menurutnya, warga emas itu menghalang tindakan anaknya berusia 40-an yang ingin menjual kediaman mereka di Taman Muhibbah, Ulu Tiram, menyebabkan suspek hilang pertimbangan.
“Mangsa bukan sahaja dipukul malah turut dihalau dari rumah. Mangsa meminta bantuan jiran untuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum membuat laporan polis.
“Berdasarkan maklumat mangsa, mereka tinggal serumah, namun hubungannya dengan suspek dan tiga anak lain renggang,” katanya semalam.
Manayi berkata, mangsa kecewa dengan tindakan anak-anaknya sehingga enggan pulang ke kediamannya dan rela hidup di rumah orang tua.
“Mangsa khuatir jika dia kembali ke rumah, suspek akan mengulangi perbuatan sama selagi dia tidak memenuhi permintaan terbabit,” katanya.
Katanya, anak mangsa meminta bapanya menarik balik laporan polis yang telah dibuat, bagaimanapun mangsa tetap dengan keputusan supaya kes berkenaan diteruskan.
“Suspek mendakwa bapanya cedera akibat terjatuh, bagaimanapun berdasarkan laporan perubatan, lebam pada mata dan benjolan di dahi warga emas terbabit bukan akibat terjatuh.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan mangsa di Rumah Seri Kenangan mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 sementara kes ini berjalan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.