Jenazah mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik HKT. Gambar kecil: Ismail
Kejadian di simpang empat lampu isyarat Pasak kira-kira jam 11.20 pagi semalam, mengakibatkan mangsa Ismail Md Amin, 69, maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas terperosok bawah lori terbabit.
Isteri mangsa, Zaleha Monel, 67, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) berkata, suaminya sering berulang alik ke bandar Kota Tinggi berseorangan menaiki motosikal untuk membeli barang.
“Arwah tidak membenarkan saya mengikutnya ke bandar sejak kejadian ragut yang menimpanya setahun lalu kerana khuatir keselamatan saya.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah pagi tadi (semalam), ketika itu dia memberitahu hendak ke bandar Kota Tinggi membeli air minuman.
“Tidak sampai satu jam dia keluar, saya dimaklumkan oleh jiran bahawa suami terlibat dalam kemalangan,” kata ibu tiga anak ini.
Zaleha berkata, arwah merupakan seorang yang disenangi terutama kanak-kanak yang belajar mengaji di rumah mereka.
“Kami tinggal berdua di rumah, kesemua anak sudah berkahwin dan tinggal di rumah masing-masing. Seminggu lagi berpuasa, tinggallah mak cik sorang-sorang di rumah,” katanya yang redha dengan ujian tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian berlaku apabila lori yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing tidak sempat mengelak motosikal mangsa yang datang dari arah kanan.
Menurutnya, ekoran itu, mangsa termasuk ke bawah lori dan maut di tempat kejadian.
Jelasnya, punca kemalangan dipercayai disebabkan lampu isyarat yang tidak berfungsi bagaimanapun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.
Mayat dihantar ke HKT untuk bedah siasat dan dituntut waris untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 2.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.