 |
Seorang anggota polis menunjukkan dua buah kereta Geng Ady yang dirampas. |
KUALA LUMPUR - Kumpulan perompak dikenali ‘Geng Ady’ yang bermaharajalela melakukan rompakan sekitar ibu negara berjaya ditumpaskan dalam satu operasi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya melakukan operasi terbabit setelah kumpulan terbabit melakukan samun ke atas seorang ahli perniagaan di Ampang Park, Khamis lalu.
“Sebaik sahaja mendekati mangsa, salah seorang daripada suspek menetak tali beg galas yang dibawa mangsa. Namun, mangsa melawan dan enggan melepaskan begnya,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.
Katanya, melihat mangsa melawan, suspek terus menarik mangsa ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Sebaik sahaja kereta dihidupkan, suspek membawa mangsa sejauh 300 meter dan mangsa ditendang beberapa kali.
“Akhirnya, mangsa tercampak keluar di Jalan Tun Razak dan suspek berjaya menyentap jam tangan mangsa,” katanya.
Kata Zainuddin, suspek dipercayai mengekori mangsa dari sebuah bank di Taman Connaught sebelum melakukan samun dan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM165,000.
Menurutnya, hasil risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Sri Kembangan, Selangor.
Hasil soal siasat lelaki itu menjurus kepada kejayaan polis menahan tiga lagi suspek di Chow Kit, Kuala Lumpur serta Gombak, Selangor.
“Kami turut merampas sebuah teksi, empat buah set walkie-talkie, dua bilah parang, wang tunai RM4,000 dan pelbagai barangan lain,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan ini dipercayai sudah melakukan rompakan sebanyak 20 kali pada tahun ini dan polis masih memburu dua lagi ahli kumpulan terbabit.
Kesemua ditahan direman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.
Sementara itu, pihak polis turut menumpaskan 'Geng Nazi Botak' yang menjadikan warga asing sebagai sasaran.
Kumpulan ini berjaya ditumpaskan polis dalam satu operasi khas di Jalan Leboh Ampang, di sini setelah seorang lelaki warganegara Bangladesh disamun kumpulan terbabit di Jalan Pudu.
“Bertindak daripada aduan berkenaan, polis melakukan tindakan pantas dan berjaya menahan kesemua pada awal pagi Rabu lalu,” katanya.
Menurut Zainuddin, polis berjaya menahan tiga orang warga tempatan serta seorang warganegara Nepal yang dipercayai menganggotai kumpulan terbabit.
Katanya, semua ditahan berumur lingkungan 30-an dan suspek adalah gelandangan yang tinggal di merata-rata tempat sekitar Kuala Lumpur.
“Siasatan polis mendapati kumpulan ini mempunyai rekod 13 jenayah samun di sekitar ibu kota dan tempat mereka melakukan jenayah adalah di Jalan Silang, Pasar Seni, Puduraya dan beberapa kawasan lain,” katanya.
Zainuddin berkata, polis masih memburu saki-baki kumpulan ini.
Kesemua suspek direman selama dua minggu.