13 Jun 2014
KUALA LUMPUR - 'Sudah selesai' atau 'gao dim' dalam bahasa Kantonis, adalah ungkapan penarik kereta Koong Swee Kwan sebaik menaiki teksi yang menunggunya di luar kawasan tokong, tempat pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dibunuh, tahun lepas.
Pemandu teksi itu Chew Siang Chee, 45, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, dia tidak memahami mengapa lelaki itu, yang juga dikenalinya sebagai 'Ah Kwan' berkata demikian sebelum mengarahkannya memandu teksi dengan lebih laju.
"Lepas cakap 'gao dim', dia (Swee Kwan) tidak cakap apa-apa lagi cuma suruh saya pandu lebih laju," katanya, yang sudah lama mengenali Swee Kwan.
Siang Chee berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Swee Kwan, 45, yang didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Kuan Yin di No.4 Lorong Ceylon, di sini antara 1.30 petang hingga 2 petang pada 29 Julai, 2013.
Swee Kwan juga didakwa cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 49, di tempat dan pada waktu sama.
Siang Chee, yang merupakan saksi ke-17, memberitahu mahkamah bahawa sebelum itu, dia ada mendengar bunyi letupan seperti mercun sebanyak dua kali ketika sedang mencuci teksinya di luar kawasan tokong sebelum melihat orang ramai melarikan diri.
Katanya, selepas mendengar bunyi mercun itu, dia mahu bergerak meninggalkan kawasan tokong berkenaan, namun terdengar bunyi ketukan di bonet dan ternampak Swee Kwan sebelum memberhentikan teksinya.
"Ah Kwan kemudian meluru masuk ke dalam kereta melalui tempat duduk penumpang depan sambil menyorokkan tangannya. Dia bernafas laju, macam berlari," katanya, yang kemudian menurunkan Swee Kwan di kawasan berbukit di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini.
Siang Chee berkata, pada sebelah petang hari kejadian, ketika sedang menunggu penumpang di Bukit Jalil, dia menjumpai satu magazin peluru di tepi tempat duduk penumpang depan sebelum menghubungi Swee Kwan.
Katanya, Swee Kwan kemudian datang menemuinya untuk mengambil magazin peluru itu dan menyuruhnya membuat laporan polis berhubung penemuan magazin itu.
Bagaimanapun, Siang Chee berkata, dia tidak membuat laporan polis kerana mahu mencari pemilik magazin itu.
Terdahulu, Siang Chee berkata, dia datang ke tokong itu selepas menerima panggilan telefon daripada Swee Kwan yang memintanya untuk menunggu di situ (tempat kejadian).
Siang Chee, kini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah memiliki pistol dan peluru hidup.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Ananthan Rajoo memberitahu mahkamah bahawa seramai enam daripada 11 saksi awam yang dipanggil untuk membuat pengecaman, telah mengecam Swee Kwan sebagai individuyang melepaskan tembakan di tokong berkenaan.
Ananthan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, berkata, pengecaman itu dilakukan semasa kawad cam dibuat di IPD Dang Wangi pada 26 September 2013.
"Semasa kawad cam itu, isteri Swee Kwan, Yap Pook Ling turut hadir sebagai pemerhati," katanya, yang memaklumkan Swee Kwan diserahkan kepadanya, pada 23 September 2013. - Bernama